Skip to main content
EkonomiHome

Najib Ikrar Terus Berusaha Bina Malaysia Lebih Cemerlang

By 14 Februari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

LOS ANGELES, 13 Feb – Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar sebagai perdana menteri, beliau akan terus berusaha membina Malaysia lebih cemerlang.

Pentadbirannya, kata Najib, sedang mengambil pelbagai langkah bagi meringankan beban rakyat ke arah satu cara yang cukup bermakna dalam mengukuhkan masa hadapan mereka.

Malaysia sedang berusaha ke arah ekonomi yang lebih berdaya tahan demi faedah rakyatnya, kata beliau pada perjumpaan dengan kira-kira 300 dispora Malaysia termasuk golongan pelajar di kediaman rasmi Konsul-Besar Malaysia Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin di sini pada Sabtu (Ahad di Malaysia).

“Kita mahu rakyat dari Perlis hingga ke Sabah merasakan Malaysia sebagai tempat yang hebat untuk didiami,” kata Najib yang melakukan lawatan kerja seminggu ke negara ini.

Beliau menjelaskan kepada rakyat Malaysia yang tinggal di bahagian Amerika Syarikat di sini bahawa kadang kala kerajaan terpaksa mengambil tindakan tegas demi faedah negara dan masa hadapannya.

Menyebut sebagai contoh pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Najib berkata tindakan tegas oleh pentadbirannya itu banyak mengimbangi impak cabaran ekonomi semasa akibat kelembapan pertumbuhan ekonomi dunia dan kemerosotan harga minyak dan komoditi.

“GST adalah perlu ketika negara mengalami kekurangan hasil RM40 bilion tahun ini berikutan cabaran ekonomi global.

“Bayangkan tanpa (hasil dari) GST, betapa besar impak (cabaran ekonomi global) ke atas ekonomi negara dan kebajikan rakyat,” kata Najib.

Menjelaskan lebih lanjut tentang isu itu, beliau berkata ini (GST) adalah seperti mengambil ubat, sedikit pahit tetapi menjadikan lebih cergas kemudiannya.

Menarik perhatian terhadap semakan Bajet 2016 baru-baru ini, Najib berkata langkah itu bertujuan menghasilkan pertumbuhan ekonomi mampan ketika berlaku cabaran ekonomi global semasa.

Beliau menyebut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi pujian dalam kajiannya mengenai prestasi ekonomi Malaysia dalam tempoh yang mencabar ini.

“IMF berkata ekonomi Malaysia mencapai prestasi baik sekalipun berlaku cabaran itu. Ia memuji perbelanjaan bijak di Malaysia,” kata Najib.

Bloomberg, kata beliau, meletakkan Malaysia sebagai pasaran keenam paling memberi harapan.

Beliau mengingatkan rakyat Malaysia agar waspada terhadap mereka yang hendak merosakkan negara dan menggugat kestabilannya.

“Ini (tindakan tidak bertanggungjawab) tidak mengutamakan negara,” kata beliau.

Najib juga menggesa mereka yang bekerja di negara ini membawa pulang kemahiran inovasi dan daya kreatif mereka demi manfaat Malaysia.

Turut hadir isteri Najib Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Dr Awang Adek Hussin.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda