Oleh Mohd Zahari Zakaria
PERMATANG PAUH, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Cuaca panas melampau dengan suhu sekitar 39 darjah celsius di utara tanah air terutamanya di Perlis dan Kedah pada hari ini, telah mendapat perhatian daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid mengumumkan bahawa semua sekolah di Perlis dan Kedah akan ditutup selama 2 hari mulai esok sehingga 23 Mac ekoran cuaca panas akibat daripada Fenomena El Nino.
Keputusan yang dibuat atas nasihat Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan itu hanya melibatkan murid sekolah sahaja.
Menurut seorang bapa, Ahmad Sazali, 44, dengan cuaca yang agak panas pada ketika ini, arahan penutupan sekolah oleh kementerian adalah langkah yang amat baik.
Katanya, sekolah-sekolah di Pulau Pinang juga patut ditutup kerana menerima kesan yang sama.
Sementara itu, seorang ibu, Suriati, 39, berkata penutupan sekolah adalah tindakan yang wajar diambil untuk mengurangkan pendedahan murid kepada haba cuaca panas.
Tambahnya, pelbagai penyakit boleh dihadapi oleh murid sekiranya tidak tahan dengan suhu yang terlampau panas.
Penutupan sekolah ini adalah tertakluk kepada keadaan semasa suhu di negeri-negeri tersebut.