
Oleh A.Prabagaran (Klang)
KLANG, 8 Mac (Malaysiaaktif) — Seramai 20 orang penduduk, termasuk kanak-kanak dikatakan dijangkiti demam denggi di Taman Pendamar Indah di sini.
Dakwaan yang dibuat oleh penduduk setempat merujuk kepada apa yang mereka sifatkan sebagai kecuaian pihak Majlis Perbandaraan Klang yang dikatakan gagal menjaga kebersihan persekitaran kawasan taman perumahan tersebut. Berikutan itu hari ini sekumpulan penduduk kawasan berkenaan mengadakan bantahan.
Dengan diketuai oleh Presiden Persatuan Sejahtera Kebangsaan, M. Selventhiran, mereka menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap apa yang berlaku.
Mereka mendakwa pihak Majlis Perbandaran Klang hanya mengutip cukai pintu, tetapi gagal melaksanakan tugas mereka. Selain itu mereka juga mendakwa Ahli Majlis tidak pernah turun membuat pemantauan di kawasan ini.
Selain jangkitan denggi, mereka turut membangkitkan isu sampah sarap yang tidak dikutip mengikut jadual dan keadaan longkang dan taman permainan yang tidak dibersihkan selama tiga tahun.
Kumpulan ini mendakwa Ahli Parlimen Klang Charles Santiago tidak dapat dihubungi walau pun sudah beberapa kali mereka mencuba.
Mereka memberi amaran sekiranya masalah ini tidak diatasi, penduduk akan berhenti membayar cukai pintu dan segala cukai yang dikenakan oleh kerajaan negeri serta memboikot Majlis Perbandaran Klang.