MELAKA, 2 Mac — Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperkenalkan dua pendekatan baharu dalam membangunkan rumah mampu milik, kata Menterinya Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Tanpa memberikan butirannya, beliau berkata pendekatan itu akan membolehkan lebih ramai rakyat berpendapatan sederhana dan rendah memiliki rumah sendiri selain mengurus secara efektif penawaran dan permintaan rumah jenis itu di pasaran.
Katanya pendekatan baharu dalam pembinaan rumah mampu milik itu hanya akan melibatkan perbelanjaan minimum daripada pihak kerajaan dan akan dibentang kepada Majlis Ekonomi dalam masa terdekat.
“Ia suatu sistem baharu yang akan dibentangkan kepada Majlsi Ekonomi di mana Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) ada di sana dan apabila diluluskan saya akan umumkan.
“Saya kira pendekatan ini bukan mengejutkan tetapi tidak pernah dilakukan sebelum ini, ia merupakan idea baharu berhubung cara untuk menangani permintaan dan penawaran rumah mampu milik di negara ini,” katanya kepada pemberita di sini Rabu.
Terdahulu, beliau merasmikan Forum Bandar-bandar Berdaya Tahan Asia Pasifik kali kedua di Bandar Hilir di sini. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
Abdul Rahman berkata Najib secara peribadinya amat gembira dan positif apabila diberitahu mengenai pendekatan itu, tetapi KPKT diminta untuk membentangkan pendekatan itu dengan lebih terperinci kepada Majlis Ekonomi.
Sementara itu, beliau menyokong cadangan Ahmad Zahid untuk melihat tentang kaedah untuk melaksanakan kawalan harga rumah secara berhemah.
“Kita berbincang mengenai perkara ini di Kabinet, bawa berbincang dan bagi pandangan. Kita bukan hendak kawal sangat tetapi bolehkan harga rumah tidak naik setinggi seperti sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata ketika mengambil alih jawatan menteri di kementerian tersebut pada 2013, harga rumah naik dengan purata 15 peratus setahun namun dengan pelbagai dasar dan inisiatif dilakukan kenaikan itu, pada tahap 5.9 peratus pada suku terakhir tahun lepas.
Hari ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata kerajaan bersetuju meneliti semula Dasar Perumahan Negara terutama berkaitan aspek harga hartanah itu yang dicadang ditentukan kerajaan, bukan semata-mata oleh aktiviti permintaan dan penawaran dalam pasaran.