Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Menjahit Kepakaran Yang Tidak Diwarisi Anak-Anak

By 13 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Robani Nabi Ahmad, Normah Sapa’in, Un Suat Fern & Mohd Anizan Daud (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 13 Mac (Malaysiaaktif) – ‘Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi’, itulah luahan rasa Othman Yaakub 72, seorang tukang jahit uniform dan pakaian rasmi dengan pengalaman hampir 50 tahun. Luahan itu disuarakan apabila mengenangkan perniagaan warisan yang menjadi punca rezeki keluarga selama ini tidak diwarisi oleh anak-anaknya.

Kedai Jahit Othman Yaakub satu nama besar yang disegani dan amat popular dalam kalangan anggota perkhidmatan beruniform di Kelantan. Kejituan mutu jahitan serta kerapian dan kemasan tangan bukan sahaja menjadi sebutan warga beruniform malah sesiapa juga yang pernah mendapatkan khidmat jahitannya.

Anak jati Kota Bharu ini berkata, pengiktirafan itu bukan diterima dengan cara mudah. Menurut beliau, jika tidak mempunyai semangat yang jitu, gigih dan wawasan yang tinggi untuk berjaya, dia mungkin telah menemui kegagalan dalam bidang itu.

 

20160313014227

 

“Dunia perniagaan memiliki keunikan dan seni perjuangan tersendiri kerana kejayaan dan kemajuan diri akan memberi kepuasan terutama jika matlamat yang disasarkan telah tercapai,” ujar beliau dengan bersemangat.

Dengan bermodalkan pengalaman kerja sebagai tukang jahit pakaian tentera sekitar tahun 60-an di beberapa kem tentera iaitu di Melaka, Negeri Sembilan, Sungai Buloh dan Kem Desa Pahlawan, Kelantan. Selama lebih 20 tahun kerjayanya di kem tentera, beliau akhirnya membuka kedai jahit sendiri yang terletak di Bangunan Letak Kereta, Jalan Semarak, Kota Bharu, Kelantan, kira-kira jarak tiga kilometer dari pusat bandar Kota Bharu.

Beliau menceritakan pengalamannya terbabit dalam seni jahitan sebelum merdeka lagi. Menurut beliau, ketika berusia 23 tahun, beliau memperoleh ilmu dan minat menjahit pakaian tentera daripada Giat Mara dan meneruskan bidang jahitan dengan seorang guru berbangsa Pakistan yang dikenali sebagai Rahman Pakistan, yang telah meninggal dunia 30 tahun yang lalu.

Hasil daripada itu, pakcik Othman berkebolehan dalam menjahit pelbagai pakaian pasukan keselamatan seperti polis, tentera, bomba dan lain-lain termasuk pakaian adat istiadat diraja seperti istiadat makan malam dan sebagainya.

“Pakcik  rasa syukur kerana perniagaan pakcik tetap utuh sehingga kini walaupun terpaksa bekerja seorang diri tanpa bantuan isteri serta anak-anak”, jelas beliau sambil tersenyum.

Menurut beliau, pasaran bagi pakaian tempah juga semakin merosot kerana lambakan pakaian siap pelbagai jenama dengan harga yang lebih murah. Banyak kedai-kedai jahit di Bandar Kota Bharu terpaksa mengubah corak perniagaan kepada membaiki pakaian siap. Tempahan tidak dapat diambil kerana ketiadaan tukang jahit tempatan yang berkemahiran. Hanya segelintir pengguna yang pentingkan kepuasan dan keselesaan akan terus menempah pakaian di kedai jahit.

Namun hatinya sedikit tersentuh kerana kepakaran yang dimilikinya tidak mampu dijadikan legasi kerana  kesemua 9 orang anak-anaknya memiliki kerjaya di bidang masing-masing. Beliau akur dengan takdir dan faham dengan tuntutan semasa yang mendorong anak-anaknya menerokai bidang lain. Di akhir perbualan, beliau sekali menyatakan, “zaman sekarang, kuah tak tumpah ke nasi lagi, tapi jangan sampai tumpah ke lantai”.

 

Tinggalkan komen anda