Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Mini Muzium Wak Surgi Tarikan Baharu Sungai Besar

By 21 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Wan Seman Wan Bedollah (Sabak Bernam)

SUNGAI BESAR, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Sentiasa menanam minat yang mendalam untuk menubuhkan sebuah mini muzium, akhirnya Wak Surgi mampu tersenyum lebar apabila cita-citanya menjadi kenyataan. Bermula dari hobi mengumpul barangan antik dan mempunyai nilai sejarah, hari ini beliau berjaya membuka mini muziumnya di Sungai Besar, Selangor.

Demikian menurut Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon, ketika mengumumkan Mini Muzium Wak Surgi sebagai destinasi menarik baharu untuk dikunjungi dalam majlis perasmian muzium itu di sini pagi tadi.

Mini Muzium milik Wak Surgi atau nama sebenarnya Surgi Gharib, terletak di rumah lamanya di Taman Setia Jaya, Sungai Besar, Selangor.

Kebanyakan barang-barang lama yang terdapat dalam mini muzium tersebut dibeli oleh Surgi sendiri. Terdapat juga barang yang dihadiahkan oleh orang perseorangan atau dipinjamkan oleh mereka yang bersimpati.

Surgi yang merupakan pesara kerajaan di Pejabat Daerah Sabak Bernam, berminat mengumpulkan barang-barang lama sejak beliau masih bersekolah lagi dan berterusan hingga beliau bersara.

Selain mengumpulkan barang-barang lama, Surgi juga merupakan seorang yang kreatif. Ini dapat dilihat melalui beberapa replika ciptaanya, seperti peti nyanyi, kapal terbang tentera dan helikopter. Selain itu, Surgi turut mengumpul gambar-gambar lama yang ditemui untuk dipaparkan atau dicetak semula.

Selepas bersara Surgi bertekad untuk mengisi waktu lapangnya dengan menumpukan sepenuh perhatian kepada pengurusan mini muzium sedia ada.

Gigih berusaha selama hampir 10 tahun, Surgi hanya menggunakan wang simpanannya sendiri tanpa bantuan daripada mana-mana pihak untuk merealisasikan impiannya.

Noriah berharap agar usaha Wak Surgi ini dapat terus diwarisi kerana mengumpul barang-barang sejarah untuk menjadi tatapan dan kajian generasi seterusnya bukanlah sesuatu yang mudah.

Walaupun Mini Muzium Wak Surgi bukanlah sebuah muzium serba lengkap, namun pelbagai barangan lama dipaparkan untuk tatapan generasi muda hari ini.

Antara koleksi barangan antik Mini Muzium Wak Surgi adalah barangan kamera; projektor wayang gambar; ratusan keping piring hitam lagu-lagu Melayu, Hindustan dan Arab; pelbagai jenis mesin taip; alat-alat perhubungan telefon; alat rakaman suara; barangan elektrik; alat senjata tradisional; perkakas kerja pertanian; sampan pengangkutan; serpihan barangan tembikar, pakaian tradisional Melayu, dan juga buku-buku cerita serta buku teks zaman ‘Sekolah Melayu’ serta pelbagai majalah lama.

Di majlis yang sama, Noriah turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM30 ribu kepada Wak Surgi.

 

Tinggalkan komen anda