Oleh Andi Abdul Rohim
NIBONG TEBAL, 17 Mac (Malaysiaaktif) – Sentiasa menjadi kegemaran ramai, permintaan terhadap air kelapa muda kini meningkat dua kali ganda ekoran cuaca panas dan kering yang melanda negara.
Menurut pengusaha gerai minuman Buahati Enterprise, Shahril Effendy Azahari, 26, kebiasaannya permintaan terhadap kelapa muda hanya sekitar 150 hingga 200 biji sehari, tetapi kini permintaannya mencecah 300 biji kelapa sehari.
Tambahnya, fenomena El-Nino yang melanda negara kini bagai menambah rezekinya kerana hampir setiap masa ada sahaja pelanggan yang datang ke gerainya untuk mendapatkan air kelapa muda bagi menghilangkan dahaga.
Gerai yang terletak di Kampung Datuk Keramat, Nibong Tebal itu menjual air kelapa dengan harga RM3.50 sebiji.
Menurut salah seorang pelanggan yang sering singgah di gerai ini, Asrul Nizam, 31, air kelapa bukan sahaja dapat menghilangkan dahaga, malah dapat menyejukkan badan.
Selain air kelapa, pelbagai jenis minuman lain turut dijual, antaranya tembikai, belimbing, nenas, jambu dan mangga.