Skip to main content
Berita TempatanHomeSabahViral

Cuaca Panas, 500 Hektar Hutan di Keningau Terbakar

By 17 Mac 2016Mac 21st, 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Wenny Di Tian Soh & Yahya Abdul Rajak (Sabah)

KOTA KINABALU, 17 Mac 2016 (Malaysiaktif) –? Oleh sebab cuaca panas yang berterusan, satu kebakaran hutan besar yang melibatkan keluasan 500 hektar telah melanda Kg. Bunang berhampiran MESEJ Bunang, Keningau, Sabah sejak Sabtu lepas.

Menurut Penguasa Bomba dan Penyelamat Keningau, Abu Hassan Mohd Nawi, sehingga kini kebakaran masih berlaku disebabkan jentera Bomba tidak dapat memasuki kawasan bencana selain ketiadaan sumber air.

Kawasan kebakaran turut melibatkan Kg. Binakaan, Kg. Linggawon, Kg. Ulu Biah, Kg. Kindasan, Kg. Bomboi, Kg. Ulu Damai Jalan Biah Ring dan Taman Bersatu.

Ketika ini, pemantauan terus dilakukan di kawasan terbabit dengan menggunakan Unit Bantuan menerusi helikopter Bomba Mi171 yang menggunakan kaedah ‘water bombing’ untuk membantu operasi pemadaman.

Terdahulu, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi siaran medianya, memaklumkan sejak 17 Januari hingga 16 Mac 2016, sebanyak 1279 panggilan kecemasan melibatkan kebakaran terbuka telah direkod di Sabah.

KPKT juga menjangka panggilan kecemasan akan terus meningkat berikutan musim El-Nino yang berlarutan sehingga penghujung Mac 2016.

Selain itu, pihak bomba turut menerima pelbagai kes kebakaran melibatkan kawasan hutan belukar yang turut mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 550 kes diikuti kebakaran hutan 286 kes, kebun kecil 23, tapak pelupusan sampah 47 dan ladang 13 kes.

Daerah yang paling teruk terjejas adalah di Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Keningau dan Tuaran.

Sementara itu, Menteri KPKT, Datuk Abdul Rahman Dahlan menerusi siaran medianya turut menasihati orang awam agar tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa pengawasan dan memberi kerjasama kepada Bomba dan Penyelamat.

Orang awam juga dipohon agar tidak membuang puntung rokok sesuka hati kerana situasi kini lazimnya boleh menyebabkan kebakaran merebak dengan pantas.

Tinggalkan komen anda