Skip to main content
Berita TempatanEkonomiHomeSabah

#PledgeforParity – Kurang Pembuat Keputusan Wanita

By 8 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Warman Wagiman & Mastim Kiriman (Sabah)

KOTA KINABALU, 8 Mac (Malaysiaktif) –? Peratusan wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam di negeri ini menurun kepada 6.8 peratus seawal tahun 2016 berbanding 7.9 peratus pada 2015.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ayid berkata masih ada ruang penambahan jika peluang dibuka kepada wanita di Sabah untuk memegang jawatan lebih tinggi dan bersesuaian demi merealisasikan agenda pengupayaan dan pemerkasaan wanita.

“Walau bagaimanapun pencapaian keseluruhan wanita dalam negara bagi jawatan pengurusan telah mencapai sasaran sebanyak 36 peratus.

“Ini menunjukkan wanita di Sabah masih agak jauh berbanding rakan-rakan di peringkat persekutuan.

“Dasar 30 peratus itu bukan angka yang menjejaskan dan menakutkan kedudukan jantina jika benar suara-suara wanita diambil perhatian,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Sayangi Dirimu sempena Hari Wanita Antarabangsa 2016 di Wisma Wanita, pagi tadi.

“Analisis dan statistik Gender Equity Index (GEI) terbitan OECD Development Centre pada tahun 2012 mencatatkan Malaysia di kedudukan rendah dengan 56 markah di bawah beberapa negara lain, seperti Filipina, Thailand, Indonesia dan Vietnam.

“Indikator GEI diukur merangkumi jurang dalam bidang pendidikan, literasi , penyertaan dalam ekonomi, pemerkasaan dalam bidang politik dan peringkat pembuat keputusan,”tambahnya.

Beliau berkata kedudukan Malaysia berada pada tahap tertinggi dalam bidang pendidikan dengan perolehan 98 markah, manakala bagi pemerkasaan gender dan penyertaan dalam bidang ekonomi masing-masing mendapat 31 serta 40 markah.

“Kita melihat masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan ke arah mencapai kesaksamaan gender selari dengan penyertaan negara dalam meratifikasi undang-undang di peringkat antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu penghapusan semua bentuk diskriminasi terhadap wanita,”ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau merasakan kewujudan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat peringkat Persekutuan serta penubuhan Majlis Penasihat Wanita Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah di bawah Kementerian  Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal

Teks beliau dibacakan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Anita Baranting.

Hari Wanita Antarabangsa (IWD) diraikan seluruh dunia pada 8 Mac bagi mengiktiraf sumbangan dan pencapaian wanita dalam pelbagai bidang.

Sambutan di Sabah serentak dengan peringkat Kebangsaan yang diadakan di Kuching, Sarawak dengan tema tahun ini adalah “Pledge For Parity” atau Kesaksamaan Gender.

Turut hadir Pengerusi Penasihat Majlis Penasihat Wanita Sabah, Datuk Mary@Hajjah Mariati Robert dan Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Puan Myrna Jimenez.

Tinggalkan komen anda