
Oleh Daniel Jong (Seremban)
SEREMBAN, 2 April (Malaysiaaktif) – Para penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Negeri Sembilan diminta manfaatkan sebaik-baiknya bantuan itu bagi menampung kos sara hidup yang tinggi sekarang ini.
Ini dinyatakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan ketika berucap merasmikan penyampaian BR1M peringkat Dewan Undangan Negeri Kawasan Rantau di Eco Park Rantau di sini semalam.
Penyampaian bantuan tersebut disampaikan kepada lebih 300 penerima yang terdiri daripada warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dari sekitar pekan Rantau. Jumlah peruntukan BR1M yang disampaikan melibatkan peruntukan berjumlah hampir RM100 ribu.
Seorang warga emas, Jamilah Hosain, 89, berkata BR1M sedikit sebanyak membantu keluarganya membeli barangan keperluan harian, seperti beras, gula dan tepung.
Seorang lagi penerima, Malanarasu Panniam, 68 yang menerima bantuan ini buat kali ketiga menyatakan kegembiraan kerana ia membolehkan dia merancang perbelanjaan.
Tambah Mohamad lagi, bantuan BR1M membuktikan kerajaan komited dalam menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas.
“Bukan sahaja BR1M kita tunaikan, malahan pengumuman bajet 2016 memperlihatkan fokus kerajaan terhadap penambahan Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan juga projek perumahan mampu milik bagi memudahkan kehidupan rakyat di negara ini,” kata Mohamad lagi.
Mohamad berkata kerajaan juga akan terus memperjuangkan nasib rakyat dengan melaksanakan beberapa projek pembangunan walaupun menghadapi pelbagai cabaran, terutama kemelesetan ekonomi dunia pada masa kini.