Oleh: Md. Sazali bin Ab Hamid (Pengkalan Hulu)
PENGKALAN HULU, 1 April (Malaysiaaktif) – Ekoran ketidakstabilan harga getah ketika ini, kerajaan bertindak memberikan subsidi kepada penoreh getah dan pekebun kecil dengan memperkenalkan pemberian kad autoriti.
Pemberian kad tersebut membolehkan mereka menuntut subsidi sekiranya harga getah menurun di bawah paras harga lantai yang ditetapkan iaitu RM2.20.
“Pembayaran subsidi tersebut adalah berdasarkan pengiraan harga purata getah bagi sebulan. Sekiranya harga getah mencecah RM2.20 dan ke atas, tiada subsidi yang akan diberikan. Penoreh perlu menjual getah dan mendapatkan resit daripada pembeli yang berlesen bagi tuntutan tersebut,” ujar Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan Lembaga Getah Malaysia Cawangan Gerik, Azmi Sohor.
Beliau berkata demikian ketika Program Pengeluaran Permit Autoriti Transaksi Getah dan Taklimat Insentif Pengeluaran Getah Peringkat DUN Pengkalan Hulu di Dewan Bandaran Pengkalan Hulu, Rabu lepas.
Menurut penduduk Kampung Kuak Hulu di sini, Shamsudin Ahmad, 56, pemberian subsidi tersebut mampu membantu penoreh yang tertekan akibat penurunan harga getah ketika ini.
“Sebaiknya kerajaan memberi subsidi bulanan seperti yang diterima golongan nelayan bagi membantu penoreh getah kerana banyak risiko yang perlu dilalui oleh penoreh terutamanya apabila tiba musim hujan dan musim daun getah gugur kerana penoreh tidak dapat mengeluarkan hasil yang maksimum,” ujar Shamsudin.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim ketika merasmikan program tersebut berkata pemberian subsidi ini dapat membantu meringankan beban penduduk setempat yang rata-ratanya merupakan penoreh getah dan pekebun kecil.
Lembaga Getah Malaysia turut membuka kaunter pendaftaran Kad Autoriti Getah bagi memudahkan pendaftaran kira-kira 500 peserta program yang terdiri daripada penoreh dan pemilik kebun.