Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya) / Foto: Abdul Hafiz Itam
LUNDU, 25 Apr (Malaysiaaktif) – Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jazolkipli Numan mencabar calon Barisan Nasional (BN), Adenan Satem bagi kerusi N.3 Tanjung Datu.
Perkara tersebut disahkan oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Haji Hamsein di Pusat Penamaan Calon PRN Sarawak ke-11 di Dewan Masyarakat Lundu pagi tadi.
Tambahnya, Adenan Satem telah mengemukakan kertas penamaan calonnya pada 9.25 pagi sementara Jazolkipli pada 9.07 pagi. Tiada calon yang ditolak kertas penamaannya.
Jazolkipli Numan, 51 yang bertanding untuk kali pertama merupakan usahawan belacan dan ikan kering di Kg. Bako Kuching.
“Saya pernah menjadi Ketua Cabang P193, Santubong PKR. Manifesto saya ialah pembaharuan berkonsepkan politik untuk rakyat. Kita akan membela rakyat. Saya telah melakukan persediaan sejak 2009,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Adenan yang ditemani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor tiba awal di Stadum Mini Lundu sebelum menunaikan solat hajat di Masjid Darul Taqwa.
Selesai bersolat, mereka berarak bersama ribuan penyokong BN dengan laungan ‘Hidup BN’ dan ‘Hidup Adenan’.
Pengundian awal akan dilaksanakan pada 3 Mei sementara hari pengundian akan berlangsung pada 7 Mei.