Oleh Muhammad Rizal Redzuan
Foto : Jaed Tepus & Cassidy Lisut
KUCHING, 14 Apr (Malaysiaaktif) – Sejumlah RM135.6 juta dianggarkan akan dibelanjakan bagi mengendalikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang ke-11 pada 7 Mei ini.
Ia melibatkan seramai 82 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi memantau semua aktiviti kempen pilihan raya di 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sejumlah 1,879 premis akan digunakan sebagai pusat mengundi dengan 2,959 saluran mengundi untuk seramai 1,138,650 pemilih berdaftar. Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga akan melantik seramai 20, 811petugas untuk memastikan kelancaran PRN Sarawak ini.
Pengerusi Suruhanjaya PIlihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah meminta semua pihak mematuhi peruntukan dan undang-undang pilihan raya di bawah Sub Seksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan raya 1954 yang mewajibkan semua majikan membenarkan pekerja mereka keluar mengundi.
Mohd Hashim berkata, pada hari mengundi semua majikan dikehendaki memberi tempoh yang munasabah kepada pengundi-pengundi untuk mereka melaksanakan tanggungjawap.
Beliau juga meminta semua pihak agar mematuhi arahan pihak polis yang bertanggungjawab menjaga ketenteraman awam dan keselamatan urusan pilihan raya.
Pemimpin parti politik, calon, petugas dan penyokong parti, serta mana-mana individu yang terlibat semasa berkempen hendaklah mematuhi undang-undang, katanya lagi.
Pihak SPR juga melantik NGO tempatan di Sarawak membuat pemerhatian sepanjang proses pilihan raya.
Mohd Hashim berkata demikian semasa mengumumkan tarikh Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 di Hotel Merdeka Palace.
Hari penamaan calon ialah pada 25 April 2016, tarikh keluar writ 14 april 2016, tarikh notis pilihan raya 15 April 2016, dan tarikh buka permohonan kertas undi pos pada 14 april 2016.
Tarikh tutup permohonan undi pos luar negara ialah pada 25 April 2016, tarikh tutup permohonan undi pos dalam negara bagi polis tentera dan petugas media 27 april 2016, tarikh tutup permohonan undi pos dalam negara bagi petugas SPR 1 Mei 2016, dan hari mengundi awal 3 Mei 2016.