Skip to main content
Berita TempatanSabah

Tambunan Anjur Sukan, Kebudayaan Tanpa Alkohol

By 14 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

 Oleh: Leonard Desmond & Sam Mansibu (Sabah)

TAMBUNAN, 14 Apr (Malaysiaktif) –? Pejabat Daerah Tambunan julung-julung kali akan menganjurkan Karnival Sukan dan Kebudayaan tanpa alkohol pada 23 April ini di Kampung Nambayan Tambunan.

Menurut Pegawai Daerah, Thomas Logijin, tujuan pelaksanaannya adalah untuk mengajak masyarakat mengutamakan kesihatan diri melalui aktiviti bersukan dan kebudayaan.

“Mesej penting adalah untuk mengajak masyarakat merapatkan tali silaturahim di samping mengurangkan pengambilan alkohol secara berlebihan terutama setiap kali adanya aktiviti kebudayaan dan keramaian,” ujarnya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Karnival berkenaan di Pejabat Daerah hari ini.

Tambahnya, acara ini pertama kali diadakan melalui gerakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara Universiti Malaysia Sabah, Mercy Malaysia Sabah, Jabatan Kesihatan, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Majlis Daerah dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Mukim Nambayan.

Pelbagai aktiviti sukan yang akan diadakan termasuklah pertandingan bola sepak sembilan sebelah, futsal wanita, sepak takraw dan “dart”.

Di samping itu, ada juga persembahan tarian kebudayaan masyarakat tempatan, pertandingan membaca dan bercerita dalam bahasa Kadazan Dusun, hiburan seisi keluarga melalui pertandingan karaoke dan sukaneka kanak-kanak.

“Program selama dua hari ini turut memberi ruang kepada aspek penyampaian maklumat kesihatan melalui ceramah kesihatan, pemeriksaan kesihatan dan derma darah.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri Sabah, Tan Sri Datuk Panglima Joseph Pairin Datuk Kitingan dijangka merasmikan majlis penutupan pada 24 April ini.

Sehubungan itu, masyarakat di sebelas kampung dalam Mukim Nambayan termasuk Kg. Nambayan, Kg. Lubong, Kg. Lalapakon, Kg. Tanaki, Kg. Rugading, Kg. Moloson, Kg. Solibog, Kg. Sungoi, Kg. Pupuluton, Kg. Kiawayan dan Kg. Mangkatai dijemput untuk memeriahkan penganjuran karnival ini.

Tinggalkan komen anda