Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedahViral

Pemerdagangan manusia, manakah nokhtahnya

By 14 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh : Syed Hisham Shah, Pradeeb Kumar

ALOR SETAR, 14 Apr (Malaysiaaktif) – Menggunakan alasan menghadiri majlis harijadi kawan, dengan kek yang tersedia di sudut bilik, merupakan senario yang acapkali berlaku ketika tangkapan dibuat terhadap warga asing yang bekerja secara haram di sini. Pengakuan yang diberikan adalah selari dengan keadaan sebenar di lokasi kejadian menjadikan operasi pemerdagangan manusia ini sukar untuk ditangani apabila tangkapan yang dibuat terpaksa dibiarkan tanpa pendakwaan kerana tiadanya kerjasama daripada mangsa sindiket.

Dianggarkan lebih empat juta pekerja asing, didaftarkan dan tidak didaftarkan dan majoriti mangsa pemerdagangan manusia adalah pekerja warga asing yang sememangnya telah berada disini. Ini menjadikan isu pemerdagangan manusia merupakan isu yang cukup kompleks di Malaysia.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, jenayah pemerdagangan orang merupakan antara jenayah tertua di dunia.

“Jenayah ini merupakan aktiviti yang menjana pendapatan tertinggi kepada transaksi wang haram. Jika dahulu, aktiviti berkaitan dadah menerajui pendapatan tertinggi, kini memperdagangkan orang lebih menjadi pilihan.”

“Aktiviti ini hanya akan berakhir apabila setiap ahli masyarakat memainkan peranan masing-masing dalam memadamkan episod duka ini. Disebabkan hal inilah, kesedaran terhadap isu ini perlu disebarluaskan agar menjadi agenda utama dunia.” Ujar beliau ketika merasmikan majlis penutupan bengkel penulisan terhadap pemerdagangan orang di sini siang tadi.

Bengkel ini merupakan inisiatif Institut Akhbar Malaysia (MPI), membantu pengamal media memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang ini. Edisi kali ini merupakan kali keenam ianya diadakan sejak diperkenalkan pada tahun 2009 yang lalu.

Seramai 32 orang peserta daripada 14 buah agensi pengamal media terlibat dalam bengkel 3 hari ini.

Pelbagai usaha giat dijalankan oleh pihak kerajaan dalam menangani isu ini, seperti memperkukuhkan Akta
Pemerdagangan Orang dan Penyuludupan Imigran 2010 (ATIPSOM) baharu-baharu ini dengan memberikan ruang kepada badan-badan pertubuhan bukan kerajaan mengendalikan rumah perlindungan kepada mangsa.

Malaysia kini berada di kedudukan Tier 2 watch list dan berharap dapat mengukuhkan kedudukan yang lebih baik dalam menangani isu pemerdagangan manusia pada masa akan datang.

Tinggalkan komen anda