Oleh Fasharina Kholil (Gerik)
GERIK, 25 Apr (Malaysiaaktif) – Cuaca panas kebelakangan ini turut memberi kesan kepada haiwan liar, termasuk reptilia, sekaligus boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Gerik, Mohd Zaki Sueb, ular merupakan haiwan berdarah sejuk dan memerlukan kawasan yang lembap untuk berlindung. Kebakaran hutan dan cuaca panas mendorong haiwan ini untuk mencari habitat baru.
“Haiwan ini juga akan mencari tempat perlindungan lain sekiranya dirasakan kawasannya terancam,” ujarnya lagi.
Mengulas statistik tangkapan ular oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bermula Januari hingga hari ini, Mohd Zaki berkata sebanyak 52 kes tangkapan ular dicatatkan. Beliau turut menambah, meskipun statistik tangkapan ini masih terkawal, namun, orang ramai diminta berhati-hati dan tidak mengambil sikap sambil lewa.
Mohd Zaki menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak sendirian sekiranya terjumpa haiwan berdarah sejuk ini kerana boleh mengancam nyawa. Sebaliknya, orang ramai digesa untuk hubungi JPAM bagi menangkap haiwan tersebut.