Oleh Fauziah Hussain (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 19 April (Malaysiaaktif) – Susulan penahanan nelayan tempatan di Batam oleh Penguatkuasa Perairan Republik Indonesia Mac lepas, Wisma Putra akan mengatur dengan pihak jabatan berkenaan untuk menemukan ahli keluarga dengan mangsa yang ditahan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, DatukSeri Ahmad Shabery Cheek berkata pertemuan ini perlu diatur segera pada tarikh bersesuaian.
Beliau berkata, pada masa yang sama pihak Kementerian merasakan ini sebagai tanggungjawab dan keperihatinan aspek kemanusiaan kepada mangsa dan keluarga terlibat.
Menurut Ahmad Shabery lagi, isu penahanan yang melibatkan Wisma Putra ini menyentuh dua negara, termasuk beberapa jabatan serta agensi, seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Rundingan di antara Malaysia dan Indonesia seboleh mungkin perlu menggunakan saluran diplomatik dan undang-undang. Prinsip menghargai dan menghormati perjanjian perairan kedua-dua buah negara adalah perlu mengikut apa yang termaktub.
Ahmad Shabery berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang di sini tengahari tadi.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perikanan dan Laksamana Pertama Maritim Mohd Aliyas Hamdan dan Pengarah Operasi dan Komunikasi APMM.