Skip to main content
Berita TempatanSabah

ILTP Papar Pupuk Minat Belajar Komputer

By 19 April 2016Tiada komen1 minit bacaan

Oleh: Tseu Chung Yee  (Sabah)

KENINGAU, 19 Apr (Malaysiaktif) – Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) Kampus Papar cuba mencetuskan minat untuk belajar bidang teknikal dalam kalangan belia melalui program keluarga angkat.

Menurut Pemimpin Pembangunan Masyarakat Bingkor, Kennedy Jie John yang diwakili Aliudin Majid, program ILTP Papar ini amat bertepatan dalam menarik minat belia mempelajari kemahiran pembaikan komputer dan perisiannya.

“Pendedahan ini mencetuskan keinginan belia mendalami kemahiran teknikal komputer dari segi perkakasan, perisian, pemasangan yang akhirnya memberi mereka peluang untuk lebih mahir dalam sistem perkomputeran yang merupakan nadi kehidupan hari ini.

“Minat ini pasti dapat menambah sumber guna tenaga mahir sekali gus mewujudkan pusat kemahiran perkomputeran yang dapat menjana pendapatan”, katanya ketika merasmikan Program Keluarga Angkat Bengkel Pemasangan Perkakasan dan Perisian Komputer di Kampung Merampong, semalam.

Tambahnya, program ini dapat mengisi masa lapang belia dengan aktiviti berfaedah selain mengeratkan ikatan persaudaraan pelatih ILTP bersama keluarga angkat di kampung berkenaan.

Sementara itu, pensyarah ILTP, David Toru meluahkan rasa terima kasih kepada penduduk kampung atas layanan mesra dan keterbukaan mempelajari ilmu yang diberi walaupun daripada kalangan pelatih.

Katanya lagi, menjadi dasar pengurusan ILTP untuk memperkenalkan subjek dan kemahiran yang diajar di ILTP kepada belia yang ingin meningkatkan kemahiran terutama dalam bidang perkomputeran.

Program anjuran 17 Pelatih Juruteknik Sistem Komputer (IT-020-3) ILTP ini telah disertai seramai 21 belia dan keluarga di kampung berkenaan.

SF

 

 

Tinggalkan komen anda