Oleh Mohd Baharruddin Mohamad / Borhan Ahmad Ulis (Sarawak)
KUCHING, 24 Apr (Malaysiaaktif) – Hasrat adik Asyraaf Mohamad Missbahuddin, 6, untuk berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak tertunai hari ini apabila beliau membuat lawatan di kediamannya di Kampung Bintawa Tengah, dekat sini, petang tadi.
Adik Asyraaf yang menghidap penyakit Allagile Syndrome atau penyakit hati menyatakan hasrat untuk bertemu Najib kepada ibunya, Zurina Jamil, 37, apabila dia sering melihat gambar Perdana Menteri ketika mendapatkan rawatan susulan di Hospital Umum Sarawak.
“Asyraaf sering kali bertanya kepada saya siapakah lelaki dalam gambar yang digantung di kaunter-kaunter hospital? Saya memberitahu beliau ialah Perdana Menteri yang menjaga negara kita,” jelas Zurina.
“Sejak itu Asyraaf berkeinginan untuk bertemu Perdana Menteri dan hasratnya tertunai hari ini,” tambahnya.
Asyraaf dikesan menghidapi penyakit hati sejak berumur tiga tahun dan mendapat rawatan susulan di Hospital Umum Sarawak setiap bulan.
Dua kali setahun, Asyraaf akan ke Hospital Selayang, Selangor untuk mendapatkan rawatan.
Menurut doctor, Pelajar Pra Sekolah SK Matu Baru itu dijangka hanya dapat bertahan sehingga umur enam tahun, tetapi Zurina percaya kuasa Allah sahaja yang dapat menentukannya.
“Sebab itulah saya sedaya upaya menunaikan hasrat Asyraaf untuk bertemu dengan Perdana Menteri,” kata Zurina.
Kisah adik Asyraaf menjadi perbualan apabila ibunya memuat naik kisah anaknya dalam media sosial Facebook.
Usahanya ternyata berhasil apabila kisahnya sampai di pejabat Perdana Menteri dan perjumpaan tersebut diatur apabila secara kebetulan Najib mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Sarawak bermula hari ini.
Turut menemani Najib ketika lawatan petang, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan calon Barisan Nasional N.4, Pantai Damai, Dr. Abdul Rahman Junaidi dan isterinya Siti Syorgaya Mohd Zaidin.
Perdana Menteri akan mengiringi Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem selaku calon Barisan Nasional bagi kawasan Dewan Undangan Negeri N.3 Tanjong Datu ke Penamaan Calon di Dewan Masyarakat, Lundu sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur esok.