
Oleh: Azimee Abdullah & Sherul Nizam Zakaria (Balik Pulau)
BALIK PULAU, 11 Apr (Malaysiaaktif) – Gagal mendapat tempat di Universiti Awam mahupun Swasta bukanlah bererti gagal.
Melalui program Jelajah Pendidikan Bumiputera dengan kerjasama 10 universiti di seluruh negara, para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) akan diberikan peluang kedua untuk mendapat tempat di universiti yang bersesuaian.
Objektif program ini adalah untuk membantu para lepasan SPM dan STPM bumiputera yang kurang berkemampuan di luar bandar, pedalaman atau miskin bandar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera, Prof. Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, program ini merupakan kesinambungan Program Jelajah Destinasi Anak Bangsa 2015 yang mengenal pasti kumpulan sasar secara lebih dekat, seperti pekerjaan mereka, jumlah pendapatan dan tanggungan.
Sahol menjangkakan seramai 37 ribu lepasan SPM dan STPM di seluruh negara akan melibatkan diri dalam program ini.
Jelajah Pendidikan Bumiputera yang diadakan di Maktab Rendah Sains Mara Balik Pulau pada Sabtu lepas ini, telah menarik lebih 500 lepasan SPM dan STPM untuk hadir dan mengambil peluang melanjutkan pelajaran.
Jelajah Pendidikan Bumiputera ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Sri Hilmi Yahay
– AH