Oleh: Zuraidah Ahmad (Sabah)
BEAUFORT, 11 Apr (Malaysiaktif) –?Kebakaran hutan paya gambut yang telah memusnahkan 70 peratus Hutan Simpan Binsulok disyaki angkara pemburu yang tamak.
Pegawai Daerah, Mohd Shaid Othman mengakui menerima maklumat berkenaan namun menyerahkannya kepada pihak polis untuk membuat siasatan.
“Kita menerima maklumat bahawa salah seorang dalang kebakaran Hutan Simpan Binsulok ialah pemburu yang tamak.
“Mereka membakar hutan supaya binatang-binatang terutama payau (rusa) dapat diburu dengan mudah.
“Bagaimanapun, kita telah menyerahkan maklumat itu kepada pihak polis untuk siasatan,” ujarnya.
Tambah Shaid, insiden itu menyebabkan kerajaan rugi lebih RM5 juta apabila kebakaran menular ke kawasan pertanian MESEJ Binsulok yang dibangunkan Lembaga Kemajuan Tanah Berhad (SLDB) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
“Kebakaran seluas 50 hektar itu memungkinkan penambahan jumlah senarai e-kasih kerana para pekebun kecil telah hilang punca pendapatan.
“Ketamakan mereka (pemburu) telah meranapkan impian serta punca pendapatan para pekebun kecil yang menanam kelapa sawit dan nanas do tanah seluas lima hingga 10 ekar.
“Bagi pekebun kecil sawit, mereka terpaksa menunggu empat hingga lima tahun untuk mendapat hasil tanaman.
“Keadaan ini secara langsung menyebabkan mereka kembali memasuki senarai bantuan e-kasih di daerah Beaufort,” jelasnya.
Shaid yang ditemui media di sini pagi tadi berharap hujan akan turun untuk meringankan tugas para anggota bomba yang terlibat dalam operasi di kawasan tersebut.
SF