Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanEkonomiHomeViral

Pengeluar Makanan Untuk Sarawak Masih Tidak Mencukupi

By 12 April 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Genda Sating (Sarawak)

LUNDU, 12 Apr (Malaysiaaktif) – Sektor pertanian memainkan peranan sangat penting sebagai pembekal utama makanan.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, buat masa ini kadar pengeluaran makanan bagi keperluan rakyat negeri ini masih belum mencukupi.  Pada 2015, nilai import makanan ke Sarawak RM4.26 bilion, di mana untuk beras sahaja nilainya RM289.25 juta.

Adenan Satem berkata demikian ketika melancarkan ‘Road To Maha 2016’ peringkat Sarawak di sini, Ahad lepas.

Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) merupakan acara pameran bertaraf antarabangsa yang dianjurkan secara dwi-tahunan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia.

 

 

Tahun ini jelajah perasmian siri pertama telah bermula di Sarawak (Waterfront Lundu) pada 8 hingga 10 April dengan kerjasama Kementerian Pemodenan Pertanian Sarawak.

Jelajah ini bertujuan mempromosi acara dwi-tahunan MAHA 2016 yang bakal diadakan pada 24 November hingga 4 Disember tahun ini di MAEPS Serdang, Selangor.

“Jumlah penduduk dunia sekarang ialah 7.4 bilion orang. Jika mencapai 9.1 bilion orang menjelang 2050, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) menganggarkan pengeluaran makanan perlu ditingkatkan sebanyak 70 peratus,” ujar Adenan.

Tambahnya, usaha menangani isu bekalan makanan yang mencukupi sangat mencabar. Pengguna tidak seharusnya hanya bergantung kepada peladang, penternak dan nelayan kecil untuk memenuhi permintaan makanan kerana prosesnya agak lama.

Ketua Menteri turut mengingatkan agar pengeluar makanan tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Mereka perlu memastikan hasil pertanian atau agro makanan  yang dikeluarkan selamat dimakan tanpa menggunakan bahan kimia pertanian melebihi had yang dibenarkan.

Sementara itu,  Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, setiap daerah di negeri ini mempunyai keistemewaan produk-produk pertanian tersendiri.

“Seperti buah Dabai di Sibu, garam Bario, madu kelulut serta kepelbagaian beras di tanah tinggi Sarawak (Bajong, Biris, Bario dan sebagainya).

“Jika dikomersilkan lebih meluas, produk-produk ini boleh meningkatkan ekonomi masyarakat yang terlibat kerana turut mendapat permintaan menggalakkan daripada masyarakat luar,” jelas Shabery.

 

– SF/AAS

 

Tinggalkan komen anda