Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomePahangViral

Penguatkuasaan Pengasingan Sisa Pepejal 1 Jun di Kuantan

By 21 April 2016Tiada komen2 minit bacaan
Oleh Mohd Faizul Effendy Abd Rahman

KUANTAN, 20 Apr (Malaysiaaktif) – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menjalankan satu simulasi penguatkuasaan pengasingan sisa pepejal di Presint 2, Kota Sultan Ahmad Shah (Kota SAS), semalam.

Simulasi yang disertai oleh seramai 40 anggota penguatkuasa SWCorp itu bertujuan memantapkan pelaksanaan undang-undang pengurusan sisa pepejal yang mula diperkenal pada 1 September 2015.

Menurut Pengurus Cawangan SWCorp Kuantan, Amir Farid Mohd Makhtar, simulasi penguatkuasaan ini juga bertujuan mendidik masyarakat, khususnya warga Kota SAS tentang kepentingan kitar semula serta faedahnya kepada negara dan alam sekitar.

Menurut beliau lagi, SWCorp akan memulakan penguatkuasaan pengasingan sisa pepejal pada 1 Jun 2016 dengan kadar kompaun yang dikenakan untuk kesalahan pertama sebanyak RM50, RM500 untuk kesalahan kali kedua dan RM1000 untuk kali ketiga.

“Kompaun yang dikenakan bukan bertujuan untuk menindas orang ramai, tetapi ia lebih kepada mendidik mereka untuk mengamal kitar semula.

“Jika di negara maju seperti di Eropah dan Jepun, mereka sudah lama mengamalkan pengasingan sisa pepejal, mereka juga berasa malu sekiranya disaman atau dikenakan kompaun akibat kesalahan ini kerana mereka telah terdidik untuk mengitar semula,” ujar Amir.

Menurut beliau lagi, pihak SWCorp akan terus menjalankan beberapa siri simulasi di beberapa kawasan perumahan di daerah Kuantan bagi tujuan pendidikan selain memberi pengetahuan kepada orang ramai mengenai fungsi sebenar SWCorp.

Wakil penduduk Presint 2, Husainuddin Yaakub yang turut menyertai simulasi penguatkuasaan tersebut bersetuju dengan usaha SWCorp dan akan memberi kerjasama melaksanakan amalan kitar semula.

 

-MRR/AAS

Tinggalkan komen anda