Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

‘Chitra Pournami’ Serlah Toleransi Masyarakat Pengkalan Hulu

By 21 April 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh Md Sazali Bin Ab Hamid (Pengkalan Hulu)

PENGKALAN HULU, 21 Apr (Malaysiaaktif) – Perayaan ‘Chitra Pournami’ ataupun mini Thaipusam merupakan salah satu perayaan penting bagi penganut agama Hindu di Malaysia.

Menurut kepercayaan agama Hindu, perayaan yang diadakan setahun sekali ini disambut bagi memperingati kelahiran seorang pembantu Dewa yang dilahirkan ketika bulan penuh. Seperti Thaipusam, perayaan Chitra Pournami turut disertai dengan pembawa-pembawa Kavadi.

Namun, berbeza dengan Thaipusam yang disambut di kuil-kuil besar seperti di Batu Caves, Selangor dan Waterfalls, Pulau Pinang, Chitra Pournami disambut di kuil-kuil kecil di seluruh negara.

Di daerah Pengkalan Hulu, kira-kira 200 penganut agama Hindu di sini memeriahkan perayaan Chitra Pournami yang disambut di Kuil Sri Subramaniar Pengkalan Hulu.

Pengerusi Malaysian Indian Congress (MIC) Pengkalan Hulu, K.Kannesan, 59, berkata perayaan yang disambut setiap tahun ini akan diiringi dengan perarakan.

“Perayaan ini disambut setiap tahun oleh penganut Hindu di sini dan kita akan berarak membawa Kavadi bermula dari Kuil Sri Subramaniar Pengkalan Hulu ke Kampung Tasek dan seterusnya ke Kampung Baru Pengkalan Hulu,” ujar Kannesan.

Kampung Tasek rata-ratanya dihuni oleh masyarakat keturunan Siam yang beragama Buddha. Namun, menurut Kanesan, tiada masalah untuk mereka berarak membawa Kavadi ke kampung tersebut kerana penduduk di situ juga percaya bahawa Buddha berasal dari India.

”Ini menunjukkan toleransi agama yang tinggi di daerah ini kerana [penganut agama] Islam, Hindu dan Buddha tidak menganggu satu sama lain ketika perayaan agama diadakan,” katanya.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda