Skip to main content
Berita TempatanSabah

Salleh Said: Usaha Jamin Keselamatan Sabah Terus Ditingkatkan

By 4 April 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh: Muhammad Khairul Azad Yunus & Azman Jumat(Sabah)

KOTA KINABALU, 4 Apr (Malaysiaktif) –? Kerajaan Persekutuan dan Negeri akan terus meningkatkan usaha-usaha untuk menjamin keselamatan Sabah.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Senator Datuk Seri Panglima Dr. Mohd Salleh Tun Said Keruak walaupun berlaku kes penculikan di perairan Sabah baru-baru ini, kita tidak boleh berhenti berusaha meningkatkan tahap keselamatan di negeri ini.

“Kerajaan terus memberi jaminan bahawa keadaan Sabah pada umumnya selamat dan boleh diyakini,” katanya.

Salleh juga menegaskan The Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) adalah relevan dan berkesan dalam menjaga keselamatan Sabah.

“Tidak semestinya dengan kejadian penculikan baru-baru ini bermakna ESSCOM tidak berkesan menjaga keselamatan Sabah kerana sebelum ini ada beberapa cubaan penculikan di perairan Sabah dapat dipatahkan.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa Sabah mempunyai kawasan perairan yang luas untuk dipantau dan sudah tentu kita menggesa pihak berkenaan untuk menambah baik segala kelemahan yang mungkin ada terutamanya dari aspek teknologi dan risikan,” jelasnya selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi – Pengerusi Komuniti 1Malaysia (K1M) Sabah semalam.

Salleh berkeyakinan pihak keselamatan telah mengambil langkah-langkah yang sepatutnya berhubung dengan kejadian tersebut dan berharap mangsa penculikan dapat dibawa pulang dengan selamat.

ESSCOM merupakan agensi yg diberi tanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan di negeri Sabah.

Turut hadir Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Datuk Almain Ajirul, Timbalan Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Yunus Saprin dan Pengerusi Permuafakatan K1M Sabah, Mohd Tahir Mohd Soon.

Tinggalkan komen anda