Oleh: Zuraidah Ahmad & Azman Jumat (Sabah)
SEMPORNA, 23 Apr (Malaysiaktif) –? Siapakah yang bakal bergelar “Arung Salamia” bagi Pertandingan Anugerah ‘Arung Salamia’ sempena Regatta Lepa kali ke-23 yang akan diumumkan malam ini?
Jika sambutan Pesta Kaamatan terkenal dengan Pertandingan Induk Nadau, Regatta Lepa-Lepa Semporna juga terkenal dengan Arung Salamia yang memaparkan kisah legenda cerita cinta klasik gadis suku kaum Bajau, Arung Salamia dengan pemuda sekampung, Tanjung Kalang.
10 finalis mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing telah mempamerkan aksi dan gaya persembahan terbaik mereka pada Sangom Maglami-Lami di Dataran Regatta Lepa, malam tadi.
Peserta fotogenik, Nur Eka Shakira Hamsani, 22, dari Kg Kunak Darat berharap para juri akan memilihnya sebagai johan pertandingan itu.
Tinjauan rawak mendapati, Shakira ialah peserta pilihan penonton pada malam tersebut.
Sementara itu, bekas naib johan Arung Salami 2012, Fatmah Tanasul, 22, yang mewakili DUN Bugaya berkata dia ingin mengulangi kejayaannya itu sekali lagi untuk tahun ini.
Dia yang berkebolehan menggunakan tiga bahasa berjaya menyerlahkan daya intelektual dan personalitinya cuku anggun.
Bagi wakil DUN Silam pula, Nurul Fazlinah Fazlin, 18, percubaan kali pertama itu dianggap sekadar mengambil pengalaman jika nasib tidak menyebelahi dirinya.
Fazlinah tampil menawan dengan rekaan fesyen pakaian dan solekan matang yang digayakannya.
Berbeza dengan wakil DUN Lahad Datu, Noraisyah, 18, yang menggayakan kostum tradisional dengan padanan solekan seiring usianya menampakkan dia sebagai gadis Bajau yang comel.
Untuk mengetahui keputusan pertandingan tersebut, orang ramai dipelawa memeriahkan majlis berkenaan di Padang Bandar Semporna bermula jam 7 malam ini.
SF