Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

‘ADUN Sekong: Jangan Ghairah Tekan Butang ‘Share’

By 24 April 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Muhammad Khairul Azad Yunus & Mastim Kiriman (Sabah)

SANDAKAN, 23 Apr (Malaysiaktif) –? Generasi muda dinasihat agar tidak terlalu ghairah menjadi orang pertama menekan butang ‘share’ (kongsi) tanpa mempedulikan kesahihan khabar.

Ahli Dewan Undangan Sekong, Datuk Samsudin Yahya menggesa generasi muda agar lebih berhati-hati dan tidak memakan diri sehingga boleh didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kita perlu berhati-hati kerana negara ini terbina hasil daripada kesepaduan pelbagai bangsa.

“Sebaran pantas info yang tidak sahih boleh menyebabkan berlakunya provokasi politik, agama selain fitnah yang boleh membawa kepada perpecahan antara  kaum,” katanya.

Justeru, menurut Samsudin, generasi muda perlu kembali kepada prinsip Rukun Negara yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

 

ADUN Sekong, Datuk Samsudin Yahya (dua dari kanan) menerima cenderamata daripada Timbalan Ketua Pengarah (Penerangan Strategik) JaPen, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid.

ADUN Sekong, Datuk Samsudin Yahya (dua dari kanan) menerima cenderamata daripada Timbalan Ketua Pengarah (Penerangan Strategik) JaPen, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid.

 

“Kesopanan dan kesusilaan menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku rakyat dengan budaya masyarakat kita yang terkenal sebagai rakyat yang kaya budi,” katanya ketika merasmikan Program Apa Kata Gen Y Peringkat Negeri Sabah 2016 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan semalam.

Samsudin juga berharap program berkenaan dapat melahirkan generasi penyayang yang mempunyai kesedaran dan penghayatan sejarah negara bangsa selain? saling membantu tanpa mengira kaum.

 

Zikir Munajat Asma Ul Husna yang diketuai Haji Hashim Haji Bedu

Zikir Munajat Asma Ul Husna yang diketuai Haji Hashim Haji Bedu

 

Program dua hari anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dengan kerjasama ILP Sandakan itu dimeriah?kan dengan pelbagai pengisian antaranya Penyampaian Bantuan Jalinan Kasih, majlis tazkirah, zikir Munajat Al Husna, tayangan Layar Bestari filem Ola Bola dan Forum ‘Apa Kata Gen Y’ yang bertemakan patriotisme.

Seramai 600 generasi Y terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan Institusi Pengajian Tinggi sekitar Sandakan terlibat dalam program tersebut.

Program bertujuan mengukuhkan ukhwah untuk kesinambungan kesejahteraan negara, di samping mengukur serta menilai sejauh mana semangat jati diri dan patriotisme generasi kini.

Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nur Izreen Azlin Md Idris, 21, yang ditemui ?berasa teruja kerana pertama kali turut serta dalam program sebegitu.

“Sebelum ini, saya hanya melihat program sebegini melalui kaca televisyen tetapi kali ini saya dapat merasai sendiri pengalaman tersebut di samping didedahkan dengan nilai–nilai patriotik, dan perpaduan,” jelasnya.

Seorang lagi pelajar UMS, Safiza Mohd Salim, 21,  pula berpendapat Generasi Y perlu menjadi pengguna media sosial yang lebih berdisiplin.

“Jangan percaya secara membabi buta sebarang maklumat yang tersebar, perlu rujuk pihak-pihak yang berkenaan terlebih dahulu dan jangan terus viralkan maklumat yang belum tentu sahih,” tegasnya.

Manakala, bagi pelajar ILP Sandakan, Mohd Syairazi Akmal Ali,19, berpandangan generasi Y tidak boleh lari dari mengamalkan prinsip Rukun Negara.

“Prinsip Rukun Negara seperti Kepercayaan Kepada Tuhan boleh membentuk jati diri seseorang itu untuk menjadi warganegara Malaysia yang berakhlak mulia dan menjadi aset penting kepada agama, bangsa dan Negara,” katanya.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Penerangan Strategik) JaPen, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JaPen, Datuk Almain Ajirul; Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu JaPen, Haji Hashim Haji Bedu dan wakil Pengarah ILP Sandakan, Awang Yusuf Awang Damit.

 

-SF

Tinggalkan komen anda