Oleh Mohd Baharruddin Mohamad
MUKAH, 22 Apr (Malaysiaaktif) — Peruntukan sebanyak RM 250,000 diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi menaik taraf jalanraya di kawasan Balingian.
Ahmad Zahid juga berkata tanah dan pelan untuk membina Sekolah Menengah Kebangsaan Balingian sudah tersedia dan kerja akan dimulakan dalam masa terdekat.
Beliau turut meluluskan pemasangan penghawa dingin untuk dewan orang ramai di sini.
Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat supaya menyokong parti kerajaan melalui sokongan kepada calon di kawasan ini.
Ahmad Zahid berkata demikian semasa mengahadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Kampung Masjid Balingian pagi tadi.
Turut disampaikan, geran sebanyak RM600,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) untuk Rumah Panjang dan Badan Bukan Kerajaan di kawasan N58 Balingian.
Geran tersebut diserahkan kepada Pengerusi Pengelola Majlis, Abdul Yakup Haji Arbi.
Ahmad Zahid kemudian bertolak ke Bandar Mukah untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Setia Raja Mukah, di mana beliau turut menyampaikan bantuan sebanyak RM60,000 bagi kerja menaik taraf masjid tersebut.