Oleh Hamidah Md Drus (Jempol)
JEMPOL, 22 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 36 peserta menyertai Kursus Juruacara dan Pengurusan Majlis di Dewan Feldajaya semalam. Ini adalah usaha Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dalam mencungkil bakat dalam kalangan kakitangan mereka sendiri.
Mohd Fauzi bin Mod Yusoff dan Md Ali Hanafiah bin Hassan dari Jabatan Penerangan Negeri Sembilan telah dijemput untuk menyampaikan ceramah selama dua hari. Kursus ini mengajar peserta bagaimana menjadi seorang juruacara dan cara menguruskan sesebuah majlis.
Menurut Pegawai Tadbir, FELDA Wilayah Raja Alias, Norhasimah Mohd Nor, kursus ini bertujuan mendedahkan kepada kakitangan Felda selok belok pengacaraan dan pengurusan sesebuah majlis.
“Kami sangat mempercayai kredibiliti Pegawai Penerangan yang selalu mengacarakan majlis-majlis rasmi di daerah. Diharapkan para peserta dapat mengambil peluang ini dengan sebaik-baiknya,” katanya ketika ditemui Malaysiaaktif.
Modul pengacaraan majlis ini turut menyediakan latihan praktikal bagi setiap peserta.