Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantanViral

“Tangga Bradley” Sebagai Penghubung Masyarakat Kelantan

By 22 April 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Mohd Zulfadli Ab Hamid (Kuala Krai)

KUALA KRAI, 22 Apr (Malaysiaaktif) – Tangga Bradley atau kini dikenali sebagai Tangga Krai merupakan struktur yang dibina untuk menyukat paras air Sungai Kelantan. Ia terletak dalam jajahan Kuala Krai, Kelantan dan mempunyai 81 anak tangga yang memiliki ketinggian kira-kira 31 meter dari tebing sungai.

Tangga Bradley ini dipercayai telah dibina pada 1927 dan siap sepenuhnya pada 1929. Nama Bradley diambil sempena nama Ketua Pentadbiran Jajahan Kuala Krai pada masa itu iaitu  Gerald Bradley (1927-1955).

 

tangga bradley1

 

Kegunaan utama Tangga Bradley adalah sebagai jeti perhubungan bagi penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Dabong, Sungai Pergau, Sungai Galas dan Sungai Lebir pada ketika itu untuk menjual barang hasil pertanian ke Pasar Kuala Krai.

Namun begitu, Tangga Bradley juga masih digunakan sampai sekarang oleh penduduk setempat, terutama mereka yang tinggal di kampung seberang sungai, seperti Kampung Pasir Kelang, Kampung Ladang Taku, Kampung Bahagia dan sebagainya.

Selain itu, ia juga digunakan sebagai tempat kawalan atau bacaan aras air Sungai Kelantan, terutama pada musim tengkujuh. Bagi menyukat bacaan aras air sungai, sukatan akan dilakukan dengan meletakkan penyukat di sepanjang tepi tangga dan membahagikan penyukat tersebut dengan tulisan berwarna hitam, hijau, kuning dan merah.

Jika aras air sungai berada pada tulisan hitam ia menunjukkan paras air sungai berada dalam keadaan normal. Hijau menunjukkan paras air sungai tersebut berada dalam situasi berjaga-jaga. Kuning pula bermakna sungai tersebut berada pada paras amaran dan merah menunjukkan aras air sungai berada pada paras bahaya dan penduduk tidak dibenarkan untuk menyeberangi sungai berkenaan serta perlu berpindah segera.

 

-SH/AAS

Tinggalkan komen anda