Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeViral

Zahid Selar DAP Manipulasi Isu Mangsa Culik

By 26 April 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Mulyani Nong Che / Foto: Parno Salamat

JULAU, 26 Apr (Malaysiaaktif) — Tindakan Parti Tindakan Rakyat (DAP) memainkan isu empat mangsa penculikan dengan mengheret keluarga mereka ke ceramah sebagai bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 diselar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi.

Beliau berkata tindakan DAP itu menggambarkan seolah-olah kerajaan, terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berusaha untuk membantu mangsa tersebut.

“Cara DAP menggunakan keluarga sebagai modal politik amat tidak dialu-alukan dan emosi keluarga mangsa penculikan ini tidak seharusnya diganggu.

“Berilah keyakinan kepada pihak berkuasa untuk melakukan tindakan walaupun mengambil masa sedikit kerana isu ini melibatkan penculik yang bukan sahaja menjalankan operasi penculikan di perairan antarabangsa tetapi juga di semua tempat.

“Ini bukan isu politik tetapi isu keselamatan dan kemanusiaan. Berilah masa untuk kerajaan melakukan usaha tanpa mana-mana campur tangan parti politik, jelas Zahid lagi.

Zahid ditemui semasa sidang media selepas Program Pemimpin Bersama Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Julau di Rumah Panjang Margretta, Kerangan Buluh di sini pagi tadi.

Terdahulu, Zahid mengumumkan peruntukan sebanyak RM400,000 untuk menaik taraf laluan dari jalan utama ke Rumah Panjang Margretta, sementara RM50,000 untuk membaik pulih balai raya di kawasan tersebut.

Kementerian Dalam Negeri yang menyedari kesusahan untuk membawa jenazah di sesuatu tempat turut menyumbang sebuah pengusung kepada setiap 300 rumah panjang bagi memudahkan urusan pengendalian jenazah.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda