Oleh Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 13 Mei (Malaysiaaktif) – Polis berjaya melumpuhkan geng mencuri kereta yang dikenali sebagai Geng Ayat berikutan penahanan seorang anggotanya dikenali sebagai Izat bersama sebuah Proton Wira di Lorong Pandan kira-kira pukul 1.40 pagi kelmarin.
Timbalan Ketua Polis daerah Melaka Tengah, Superintenden Mohd Kamal Zainal berkata, susulan itu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis daerah Melaka Tengah melakukan beberapa siri serbuan dim Melaka dan Kuala Lumpur dan merampas tiga lagi kenderaan.
Menurutnya, empat jenis kereta yang dilaporkan hilang sejak Februari dan April lalu yang dirampas adalah jenis Proton Wira, Proton Satria, Honda Civic dan Proton Perdana.
“Daripada soal siasat yang dijalankan suspek mengaku melakukan kegiatan itu bersama seorang lagi rakan dikenali sebagai Ayat, 25, di Melaka dan Kuala Lumpur,” katanya.
Tambahnya, Geng Ayat baru sahaja bergiat aktif melakukan kegiatan mencuri kenderaan kerana semua kereta yang dicuri masih berada dalam simpanan sementara menunggu permintaan harga tertinggi daripada pembeli.
Modus operandi yang dilakukan adalah dengan melakukan rondaan di kawasan sasaran dan menyasarkan kenderaan yang mudah dicuri dengan menggunakan kereta Ayat.
“Suspek (Izat) akan turun untuk buka dan bawa lari kereta dengan menggunakan sejenis alat, T-Joint dan kebanyakan kereta yang dicuri kereta model lama,”ujarnya.
Jelasnya, suspek seorang penagih dadah, menganggur dan sekampung dengan Ayat yang masih bebas dipercayai berada sekitar Kuala Lumpur dan keduanya dipercayai tiada rekod jenayah lampau.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kereta.