Oleh Zuraidah Ahmad & Saiful Rahman Sabri (Sabah)
KOTA KINABALU, 13 Mei 2016 (Malaysiaktif) –? Empat mangsa yang hilang di perairan Kudat 2 Mei lepas, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dengan pesawat Bombadier CL415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), kira-kira jam 9.15 pagi tadi.
Mereka terdiri daripada seorang warga China yang juga pemilik resort di Tanjung Simpang Mengayau, Tommy Lam Wai Yin, 45, bersama pekerjanya, warga tempatan, Armella Ali Hassan, 23, serta pasangan suami isteri warga Sepanyol, David Hernandes Gasulla, 30, dan Martha Miguel, 30, yang diselamatkan nelayan Vietnam semalam.
Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata maklumat mengenai mangsa diperoleh selepas Kapal Maritim Bistari menahan dan memeriksa sebuah kapal nelayan Vietnam yang dikesan menceroboh perairan Malaysia di kawasan perairan Kepulauan Spratly, kira-kira 140 batu nautika dari Labuan.
Mereka kemudiannya dipindahkan ke KM Bistari selepas Pusat Koordinasi Penyelamat Maritim (MRCC) Vietnam membenarkan kapal terbabit memasuki perairan negara itu, pada jam 6 petang semalam.
Semua mangsa dibawa ke Hospital Gleneagles di sini, dengan menaiki beberapa buah ambulans untuk rawatan lanjut.
-MRR