Oleh Mussliha Malihi / Foto: Mahmud Sulaiman
KUCHING, 16 Mei (Malaysiaaktif) – Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS) memulakan kempen membotakkan kepala bagi meningkatkan kesedaran, mengumpul dana dan memberikan sokongan kepada keluarga yang berdepan dengan kanser kanak-kanak.
Tindakan ini merupakan simbolik kepada kesan sampingan disebabkan kemoterapi yang dihadapi oleh pesakit kanser.
Menurut isteri Ketua Menteri Sarawak Puan Seri Jamilah Anu, ia juga bagi mengingatkan para pesakit dan menyedarkan bahawa kehilangan rambut adalah sebahagian daripada proses pemulihan kanser.
Menjelaskan inisiatif yang turut diambil oleh anaknya, Azizul, Puan Seri Jamilah berkata, ” Saya tidak pernah tahu bahawa anak saya akan dicukur hari ini. Azizul tidak memberitahu saya, tetapi saya begitu berbangga kerana dia menunjukkan sokongan kami kepada pejuang kanser.”
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis “Shave It Off and Help Kids Fight Cancer – Go Bald Kuching and Miri 2016” di Cityone Megamall di sini semalam.
Acara mencukur rambut yang pertama bersempena Go Bald Kuching tahun ini dimulakan oleh Azizul Annuar, anak kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan tiga lagi pesakit kanser kanak-kanak.
Ted Wilso, seorang bapa dan suami kepada penghidap kanser, antara yang tampil untuk dicukur kepala sebagai tanda sokongan.
Sejak ditubuhkan pada 1999, SCCS telah membantu lebih 900 kanak-kanak serta keluarga mereka melalui pelbagai perkhidmatan yang disediakan.
Antara perkhidmatan, termasuk sokongan emosi, bantuan di Kuching dan pusat baharu yang dibina di Miri untuk pesakit luar mendapatkan rawatan di hospital-hospital kerajaan tempatan, bantuan kewangan, pendidikan kraf asas dan pelbagai aktiviti rekreasi sepanjang tahun.
Dalam usaha untuk mewujudkan kenangan seterusnya merealisasikan kehendak kanak-kanak kanser, pada 2013 SCCS telah memulakan Wishing Star Project, bertujuan untuk memenuhi permintaan terakhir mereka. Menerusi projek ini, lebih 20 daripada mereka ingin pergi ke Legoland, zoo, parti bertema dan pelbagai lagi.