Oleh Muhammad Khairul Azad Yunus & Johny George Kimlon (Sabah)
PENAMPANG, 16 Mei (Malaysiaktif) –? Masyarakat perlu lebih mengambil berat dan menjaga alam semula jadi sebagai anugerah Tuhan yang tidak ternilai.
Pengerusi Barisan Nasional Penampang, Datuk Donald Peter Mojuntin berkata masyarakat setempat perlu menghargai alam sekitar seperti kawasan tadahan air.
“Kita perlu tingkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat setempat betapa pentingnya kawasan tadahan air seperti di Kampung Babagon sebagai sumber bekalan air mentah,” Katanya semasa merasmikan Program Semarak Komuniti 1Malaysia (K1M) dan Cintai Kawasan Tadahan Air Kita Peringkat Daerah Penampang, pada Sabtu.
“Kawasan tadahan air ini bukan sahaja menjadi sumber air mentah, tetapi ia boleh menjadi kawasan tarikan pelancong kerana kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna yang semulajadi,” Jelasnya.
“Industri pelancongan menjadi penyumbang terbesar ekonomi Sabah dengan jumlah pendapatan RM 6.4 billion tahun lalu,” tambahnya lagi.
Justeru, katanya ahli-ahli K1M perlu mengambil peluang ini dengan menghasilkan pelbagai produk pelancongan menarik berasaskan alam semula jadi yang mampu menarik lebih ramai pelancong ke daerah berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan serta NGO yang menjayakan program itu.
Sementara itu, Pegawai Daerah Penampang, Luvita Koisun berkata mereka akan menjalinkan kerjasama dengan komuniti setempat, agensi kerajaan serta NGO untuk menjaga kebersihan kawasan tadahan air dengan mengadakan program gotong-royong dan membina tandas yang mempunyai sistem kumbahan sistematik.
Pelbagai pengisian diadakan semasa pelaksanaan program berkenaan antaranya pameran agensi kerajaan,demo kraftangan,pertandingan makanan tradisional, ceramah kerjaya dari Job Malaysia, sugandoi kaamatan, kelas tarian sumazau,sukan rakyat, dan Unduk Ngadau.
Penglibatan julung kalinya 1Malaysia for Youth menjayakan program ini turut memberi kelainan apabila iM4U menubuhkan sebuah Perpustakaan Mini iM4U, selain mengadakan beberapa acara lain.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah (PKPM), Wasrin Jakaria dan Wakil Setiusaha Hasil Bumi Negeri Sabah, Awang Shahminan Datuk Awang Sahari.