
Ā Oleh: R. Balakrishnan (Nibong Tebal)
NIBONG TEBAL, 24 Mei (Malaysiaaktif) ā Sempena sambutan ulang tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang ke-70, Program Hora Hore Mutiara FM Masuk Kampung telah diadakan di sini, Sabtu lepas.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Datuk Mahmud Haji Zakaria, selain memberi peluang kepada penduduk Sungai Acheh untuk beramah mesra bersama DJ Mutiara FM, program ini juga dapat memberi maklumat semasa dan hiburan kepada masyarakat.
Pelbagai aktiviti telah diadakan untuk memeriahkan pogram ini seperti Gotong-Royong Kenduri Rakyat, sukaneka, sukan rakyat, pertandingan gubahan hantaran perkahwinan, karaoke 12 Suara Sungai Acheh, DJ Corner dan perlawanan persahabatan sepak takraw.
Kehadiran artis jemputan seperti Datuk A. Rahman Hassan, Tasha Manshahar dan Syed Syamim turut menarik perhatian para pengunjung.
Sementara itu, Pengerusi K1M Sungai Acheh, Azhar Ahmad, yang ditemui Malaysiaaktif berkata, program sebegini memberi ruang kepada K1M untuk memasarkan produk mereka.
Menurut seorang penjual produk tempatan, Suzianna Mansor, peluang untuk menyertai program sebegini jarang diperoleh, terutamanya di kawasan kampung.
Tambah Suzianna, RTM dan jabatan kerajaan lain harus memberi tumpuan di kawasan pedalaman ketika menganjurkan sesuatu program.
Turut hadir, Penasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.
– AH/SF