Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

MOTAC Batal Lesen 11 Syarikat Pelancongan Terlibat Penipuan Umrah

By 23 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh Zulkefle Mansur (Alor Gajah)

ALOR GAJAH, 23 Mei (Malaysiaaktif) – “Makcik dah lima kali mengerjakan umrah dan rezeki makcik berurusan dengan agen yang bertanggungjawab. Kesemuanya dengan agen yang sama dan dipercayai.”

Asnah Osman, 74, berkata demikian ketika ditemui MalaysiaAktif dalam Program Kempen Kesedaran tentang Penipuan Pakej Umrah/Ziarah dan Hak Kepenggunaan 2016 di Masjid Tanah, pagi semalam.


“Kawan-kawan yang mengesyorkan untuk mendapatkan khidmat agen tersebut dan ternyata mereka sangat membantu, menjaga kebajikan dan boleh dipercayai,” katanya lagi.

Asnah merupakan antara golongan jemaah mengerjakan umrah yang bernasib baik kerana tidak terlibat dalam perangkap penipuan agen dan syarikat tidak bertanggungjawab.

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, sebanyak 57 kes melibatkan syarikat yang menawarkan pakej umrah dan ziarah dikenakan kompaun bernilai RM249,000 oleh MOTAC kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan penipuan pakej umrah.

Tambahnya, kes itu termasuk melibatkan syarikat berlesen dan tidak berlesen yang meliputi kes-kes yang direkodkan di bawah Akta Industri Pelancongan (AIP) 1992 sejak 2012 sehingga April lalu.

“Selain dikenakan kompaun, kementerian juga membatalkan lesen 11 syarikat kerana melakukan kesalahan di bawah akta yang sama dan satu syarikat lagi ditarik balik lesen dalam bidang ‘Outbound’ kerana melakukan kesalahan berkaitan pengendalian pakej umrah,” jelasnya.

Kes-kes ini membabitkan kegagalan agensi pelancongan mendapatkan visa umrah, tiada tiket penerbangan, pembatalan atau penangguhan pakej umrah serta pelanggaran terma dan syarat pakej umrah.

“Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Korperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) memfailkan kira-kira 3,400 kes penipuan tersebut dengan nilai tuntutan sebanyak RM20.77 juta dalam tempoh yang sama,” ujarnya.

Tambahnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut merekodkan sebanyak 216 kes penipuan pakej umrah atau haji yang membabitkan nilai kerugian yang besar iaitu kira-kira RM9.1juta dalam tempoh empat tahun bermula 2012.
-DZ/SF

Tinggalkan komen anda