Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

‘Infineon Week’ Peluang Pelajar UTeM Serlah Bakat

By 19 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 19 Mei (Malaysiaaktif) – Usaha selama tiga bulan bagi menghasilkan produk teknologi, memberikan pengalaman berharga di samping mencabar diri serta serlahkan bakat pelajar, Nur Liyana Kamarul Anuar, 24, walaupun hanya memenangi saguhati.

Liyana merupakan pelajar Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknikal Melaka (UTeM) yang mempertaruhkan ‘Piezoelectric Energy Harvesting Floor Mat’ yang juga merupakan projek tahun akhirnya dalam UTeM – Infineon Technical Poster Competition.


Berkonsepkan tenaga hijau, ‘Piezoelectric Energy Harvesting Floor Mat’ ini merupakan tikar yang  menghasilkan tenaga elektrik melalui pemantapan dinamik seperti tenaga yang dikeluarkan ketika orang berjalan. Tikar ini jika diletakkan di laluan awam, akan menyerap tenaga tekanan yang dikeluarkan. Tenaga yang dihasilkan boleh digunakan untuk alat elektrik dan elektronik dengan nilai voltan yang rendah. 

“Program sebegini bagus untuk semua pelajar kerana ia dapat cungkil kreativiti dan idea untuk cipta atau memperbaiki sistem atau alat yang sedia ada, selain meningkatkan keyakinan pelajar ketika membuat presentation,” ujarnya.

Menurutnya, wang tunai RM100 hadiah kemenangan juga dapat digunakan untuk menampung kos projek yang akan diteruskan semula pada bulan September nanti.

Selain bertujuan sebagai platform untuk berkongsi projek pelajar kepada umum, pertandingan ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk ditawarkan bekerja bersama Infineon jika dapat menghasilkan produk yang baik selain sebagai nilai tambah dalam resume pelajar dalam mencari pekerjaan pada masa akan datang.

Pada masa yang sama, pihak Infineon Technologies Malaysia Sdn Bhd dan UTeM telah menandatangani MoU menyambung perjanjian pada tahun 2011 antaranya bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan informasi teknikal, pembangunan teknologi dan juga latihan untuk pelajar.


Timbalan Canselor UTeM, Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata pihak Infineon menerima seramai 23 orang pelajar dalam Engineering Booster X (EBX) Program pada 2014, manakala pada tahun lepas 22 orang graduan diterima iaitu hampir separuh daripada 50 peserta.

“UTeM amat berterima kasih kepada Infineon kerana pada tahun 2016, seramai 45 pelajar telah disenarai pendek dalam program ini,” katanya ketika merasmikan ‘Infineon Week’ di Dewan Fakulti Kejuruteraan UTeM semalam.

Lebih 40 penyertaan yang diperoleh dalam Pertandingan tahun ini yang bertemakan ‘Safer, Easier & Greener’ dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kejuruteraan dan Teknologi.

Infineon Week @ UTeM merupakan acara tahunan yang dianjurkan bersama sejak 2013 dengan sokongan daripada Industry-Centre of Excellence Programme (I-CoE) dibawah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.
-DZ

Tinggalkan komen anda