
Oleh: Hj. Mohd Noor Samion
MELAKA, 6 Mei (Malaysiaaktif) – Hampir 300 masyarakat setempat dari Bukit China hadir bagi mendengar dan menghayati Ceramah Isra’ Mikraj termasuk anak-anak yatim dan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Melaka pada malam Rabu.
Ceramah yang diadakan di Masjid Al-Hamideen tersebut turut diselitkan dengan bacaan selawat Maulid Dibai’e dan penyampaian sumbangan kewangan kepada anak-anak yatim dan warga emas serta fakir miskin.
Menurut penceramah, Ustaz Haji Said Haji Mohammad Rais, tanggal 27 Rejab merupakan satu tarikh penuh bersejarah dan bermakna dalam kehidupan umat Islam kerana pada tarikh tersebut bukti kebesaran, kekuasaan dan keagungan-Nya ditunjukkan dalam setiap kejadian yang berlaku dalam peristiwa Isra’ Mikraj boleh dijadikan iktibar.
“Peristiwa Isra’ Mikraj merakamkan pelbagai pengajaran dan anugerah yang tidak ternilai iaitu ibadah sembahyang yang merupakan penghubung antara manusia dengan Allah S.W.T. dan boleh memantapkan akidah dan iman dalam diri seseorang,” katanya.
Program anjuran Komuniti 1Malaysia (K1M) DUN Bandar Hilir bersama Lembaga Masjid Al-Hamideen, Bukit China ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Dun Bandar Hilir, Tuan Haji Abu Bakar Shaukat Ali.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Hamideen, Haji Md Bazid Harun berkata program ini hendaklah diteruskan setiap tahun bagi meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan umat Islam dengan menjadikan peristiwa tersebut sebagai panduan hidup.
-DZ/SF