Skip to main content
Berita TempatanSabah

Malaysia Airports Tingkat Kesedaran Jaga Alam Sekitar

By 26 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Asmidar Zainol & Volintine S.Jiloh (Sabah)

KOTA KINABALU, 26 Mei (Malaysiaktif) – Malaysia Airports mengambil inisiatif baharu dengan menutup lampu yang tidak digunakan selama sejam sebagai langkah untuk memberi kesedaran kepada staf syarikat berkenaan dalam usaha menjaga alam sekitar.

Menurut Pengerusi Malaysia Airports, Tan Sri Dato’ Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, kempen Malaysia Airports Green Hour (MAGH) akan dilaksanakan secara serentak di semua lapangan terbang dan operasi pejabatnya.

“Kempen ini dilakukan selama sejam bermula 1.00 petang hingga 2.00 petang pada 25 hari bulan setiap bulan.
“Diharapkan melalui program MAGH ini dapat membantu dan menunjuk komitmen kami ke arah kesedaran alam sekitar melalui pengurangan penggunaan tenaga di lapangan terbang.

“Kami percaya bahawa program ini dapat mengurangkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak lima peratus atau bersamaan 12,066 tan CO2e setahun dan menyumbang tiga peratus ke arah pengurangan pelepasan CO2e di semua lapangan terbang Malaysia pada 2016,” katanya.

Dr. Wan Abdul Aziz mengumumkan inisiatif tersebut ketika melancarkanMalaysia Airport Fifth Annual Green Day di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), semalam.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Pang Yuk Ming berkata kerjasama antara kementerian dan Malaysia Airports dapat dilihat melalui promosi Sabah di luar negara.

“Pihak kami berterima kasih kepada Malaysia Airports kerana telah menyediakan peruntukan RM10 juta kepada pihak kementerian untuk mempromosikan Sabah sebagai destinasi eko pelancongan.

“Peruntukan tersebut bakal digunakan untuk menarik lebih banyak penerbangan terus dan penerbangan sewa khas ke negeri ini,”katanya.

Tambahnya, industri pelancongan kini dikuasai 90 peratus oleh anak tempatan dan keuntungan serta kesan daripada industri ini boleh dirasai oleh semua lapisan masyarakat di Sabah.

Bagi mempromosikan eko-pelancongan, pihak Malaysia Airlines mengadakan mural gambar Faces of Sabah yang memaparkan wajah-wajah hampir keseluruhan suku kaum Sabah di dinding ketibaan lapangan KKIA.

KKIA juga bakal menerima penerbangan terus dari Korea menggunakan Jeju Airline pada Julai dan penerbangan dari Kunming menggunakan Lucky Air serta Tianjin Air mengadakan penerbangan terus ke Sabah dari Chongqing.

 

 

SF

Tinggalkan komen anda