Skip to main content
Berita TempatanSabah

UMS Perkasa Bidang Tenusu Melalui Eco-Farm

By 26 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Muniyamma a/p Marapan & James Gimpas (Sabah)

KOTA KINABALU, 26 Mei (Malaysiaktif) – Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan memperkasa bidang pertanian Eco-Farm di Keningau sebagai tempat latihan dan manfaat para usahawan pertanian dan pelajarnya.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tun Datuk Seri Zaki Tun Azmi, bidang pertanian akan menjadi salah satu bidang yang akan diperkasakan di peringkat UMS.

“Pemerkasaan bidang pertanian akan menggalakkan lebih ramai anak muda tempatan untuk menceburi bidang pertanian sebagai ruang untuk aktiviti pengajaran dan penyelidikan mengkhusus kepada bidang tenusu.

“Semoga melalui usaha ini, kita mampu menambah sumber penjanaan kepada UMS melalui agro pelancongan dan jualan hasil pertanian sekali gus akan menjadi model contoh Eko-Farm kepada pengusaha pertanian dan komuniti di Keningau dan Tambunan, Sabah,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Dr Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Hajah Norlidah Tan Sri Datuk R.M Jasni di Istana Negeri, semalam.

Zaki turut memperkenalkan lima ahli lembaga yang dilantik semula untuk tempoh dua tahun bermula April hingga 2018 yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan agar dapat berkongsi pengalaman para pelajar universiti berkenaan.

Terdahulu, Tun Juhar menerima kunjungan hormat Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan dan Kordinasi Program Kaamatan (MICC), Datuk Seri Panglima Clarence Bongkos Malakun.

Menurut Clarence, kunjungan itu bertujuan menjemput Tun Juhar sebagai tetamu kehormat pada Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2016 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA Penampang 31 Mei ini.

Sementara itu, Pegawai khas Majlis Warisan Budaya, Kementerian Pelancongan Negeri Sabah merangkap Pengerusi Pelaksana Unduk Ngadau, Joanna Datuk Kitingan berkata pada tahun ini seramai 44 Unduk Ngadau termasuk dua dari Libaran dan Karambunai akan bertanding dalam pertandingan akhir peringkat negeri.

Johan akan menerima RM6,000, naib johan RM4,000 dan tempat ketiga RM3,000 berserta hadiah sampingan.

 

 

SF

Tinggalkan komen anda