Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeViral

Mayat Ketiga, Pengawal Peribadi Menteri KPPK

By 7 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Asmidar Zainol

KUCHING, 7 Mei (Malaysiaaktif) — Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Muhammad Sabtu Osman mengesahkan mayat ketiga yang ditemui pagi tadi adalah Ahmad Sobri Harun, 26, iaitu Pengawal Peribadi Timbalan Menteri di Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Noriah Kasnon.

Beliau berkata Ahmad Sobri dikenal pasti melalui kad kuasa polis yang berada pada pakaian. Pihak PDRM akan menguruskan penghantaran jenazah ke Terenggau melalui pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) bersama mangsa kedua secepat mungkin.

Mangsa berasal dari Terengganu dan bertugas sebagai Konstabel Polis di cawangan Pengawal Pengiring Bukit Aman sejak lima tahun lalu.

Sementara itu, Sabtu berkata pencarian mangsa dan juga bangkai helikopter akan diteruskan, walau bagaimanapun ia bergantung kepada cuaca, arus sungai dan buaya.

“Selain keadaan sungai yang dalam, sungai tersebut juga dikenali sebagai kawasan yang mempunyai banyak buaya dan ini akan menyukarkan pencarian.

“Kita akan mendapatkan khidmat penyelam daripada Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), pihak Marin, serta cawangan 69 komando dari Ulu Kinta. Mereka akan dibawa ke Sungai Lingga untuk membantu proses pencarian.

Tambah Sabtu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) akan melakukan pencarian dengan sebaik mungkin dan tidak akan berputus asa sehingga kesemua mangsa ditemukan.

Menurut beliau lagi, pasukan SAR akan menggunakan Sonar dalam usaha mencari dua lagi mayat mangsa nahas helikopter AS350 itu.

“Kita juga sedang berusaha untuk mendapatkan peralatan sonar, APMM sedang berurusan untuk mendapatkan alat ini untuk mengesan bangkai helikopter tersebut.

Sehingga pukul 6.00 petang, empat mayat yang telah ditemui adalah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon, suami Noriah, Asmuni Abdullah, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad, Ketua Setiausaha KPKK, Datuk Dr Sundaran Annamalai, Pengawal Peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun.

Helikopter tersebut berlepas dari Betong ke Kuching pada pukul 4.12 petang Khamis sebelum dilaporkan hilang.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Sarawak di sini awal petang tadi.

– AAS

Tinggalkan komen anda