
Oleh Mohd Azhar Abu Yazid / Edawati Sulaiman
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Malaysiaaktif) –‘GST tidak memberi kesan yang memudaratkan kepada rakyat, malah ia merupakan langkah yang amat baik dan dilaksanakan hampir seluruh negara’, demikian kata Pengerusi Majlis Kebajikan & Pembangunan Masyarakat Wangsa Maju, Datuk Dr. Hj. Mohd Shafei Abdullah ketika merasmikan Program Info Komuniti 1Malaysia (K1M) Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, semalam.
Beliau mengucapkan tahniah kepada Pengerusi K1M PPR Gombak Setia, Ab Rojan Wazir kerana berjaya melaksanakan program ini dan berharap aktiviti seperti ini dapat diteruskan dari masa ke semasa.
Demonstrasi memadam kebakaran oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat menjadi acara menarik kepada pengunjung program. Beberapa agensi kerajaan dan NGO turut terlibat mengadakan pameran seperti Jabatan Penerangan WPKL, Bomba, AADK, Jabatan Kesihatan DBKL, Adabi dan Mustika Ratu.
Selain itu pelbagai aktiviti lain turut diadakan seperti cabutan bertuah, pertandingan gubahan masakan dan tuala, pertandingan mengikat bengkong, dan sukaneka kanak-kanak. Program Info K1M PPR Gombak Setia berjalan dengan lancar dan meriah.