Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Program Pendidikan Khas Integrasi Wajar Dibantu

By 24 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka (Melaka)

MELAKA, 24 Mei (Malaysiaaktif) – “Saya mencadangkan agar setiap Program Pendidikan Khas Integrasi dinaikkan sebagai anak angkat kepada setiap Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.”

Demikian kata penerima Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas 2016, Rizal Abd. Razak, 37, sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Melaka di Ayer Keroh, pagi tadi.

IMG-20160524-WA0033-1

Menurutnya, kebajikan dan bakat kanak-kanak Pendidikan Khas ini akan lebih terjaga dan dapat diketengahkan kerana selain bersukan, mereka juga berbakat dalam mengaji Al-Quran, bercerita dan bernasyid.

Rizal yang telah bertugas selama 13 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Temu, Melaka juga merupakan seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) Penglihatan dan pernah memperoleh anugerah yang sama tahun lepas serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada 2012.

IMG-20160524-WA0028

“Saya memilih subjek Pendidikan Khas kerana saya rasa saya mampu melayani kehendak golongan ini, tambahan pula, rata-rata rakan saya juga OKU penglihatan,” ujar Rizal.

Tambahnya, cabaran sebagai guru ialah melahirkan pelajar yang mampu berdikari sendiri tanpa belas ihsan  orang lain selepas pelajar tersebut tamat persekolahan.

“Guru pendidikan khas perlu mempelbagaikan alat bantuan belajar seiring dengan kepesatan ICT semasa seperti versi terkini pembaca skrin Jaws di komputer untuk pelajar buta,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Rizal Abd. Rauf, 45, juga penerima anugerah yang sama berkata Unit Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Melaka amat menggalakkan program Pendidikan Khas di seluruh negeri melaksanakan inklusif.

IMG-20160524-WA0032

“Inklusif amat baik kepada pelajar kerana di samping dapat belajar kurikulum yang sama dengan pelajar biasa di kelas biasa program ini juga dapat menggalakkan integrasi antara pelajar pendidikan khas dengan pelajar biasa,” katanya.

 

Mohd. Rizal yang mengajar di Sekolah Sukan Negeri Melaka, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota turut berharap agar bidang pendidikan khas ini akan terus maju dan melahirkan guru, pelajar dan atlet yang bukan sahaja berfikiran kelas dunia tetapi mampu bersaing di peringkat nasional dan dunia.

 

-DZ/SF

Tinggalkan komen anda