
Oleh Fauzrina Hj Bulka (Melaka)
MELAKA, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Minat serta kecenderungan untuk melawat muzium semakin terhakis lantaran kewujudan pelbagai taman tema yang menyediakan hiburan dan keseronokan semata-mata.
“Ini seolah-olah mengaburi dan menafikan peranan muzium sebenarnya, sebaliknya masyarakat perlu berusaha meletakkan muzium di Malaysia dalam kategori yang paling istimewa dan berkesan sebagai wadah penyebaran ilmu,” ujar Timbalan Exco Pembangunan Belia dan Warisan Negeri Melaka, Datuk Hajah Norpipah Abdol.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Taklimat Permuziuman dan Warisan di Muzium Rakyat petang tadi.
Menurut Kurator Bahagian Antikuiti Perzim, Fadhilah Md Saleh, guru-guru digalakkan untuk membawa murid-murid melakukan lawatan ke muzium supaya mereka diberi pendedahan di samping memupuk minat akan sejarah.
“Program 1 Pelajar 1 Muzium (1P1M) akan diperkenalkan di mana muzium bakal dijadikan sebagai sistem sokongan pengajaran dan pembelajaran (PDP) untuk mengukuhkan matlamat pelan pembangunan pendidikan malaysia (PPPM) berdasarkan silibus mengikut kesesuaian bahan muzium,” jelas Fadhilah.
Tambahnya lagi, pelbagai medium digunakan untuk mendekati golongan muda agar berkunjung ke muzium iaitu dengan perkongsian maklumat laman web, facebook dan juga twitter.
“Sempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa yang jatuh pada 18 Mei, Muzium Rakyat akan memberikan harga tiket percuma kepada kanak-kanak yang mengunjungi kami pada hari tersebut,” kata Fadhilah.
Sementara itu, Sambutan Hari Guru juga turut diraikan bersama-sama guru-guru yang hadir dalam taklimat tadi dengan upacara pemotongan kek.
-DZ