
Oleh: Muhammad Rizal Redzuan / Foto: Muhammad Rizal Redzuan
SERIAN, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, Tan Sri Adenan Satem menyatakan bahawa calon-calon pasukannya yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 tiada yang sempurna seperti malaikat.
Dengan nada berseloroh, Adenan berkata, jika ada sesiapa boleh berunding dengan malaikat untuk menjadi calon BN, harap memaklumkan kepadanya. Setiap calonnya ada kelemahan masing-masing tetapi mereka mempunyai kekuatan untuk memimpin Sarawak.
Ketua Menteri Sarawak itu juga menggesa rakyat Bumi Kenyalang memberikan peluang lima tahun lagi kepada pasukannya untuk memerintah Sarawak seterusnya menyempurnakan misi yang telah dimulakannya.
Adenan ditemui katika Majlis Penyampaian Pampasan untuk Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 253 orang menerima pampasan sebanyak RM10,300,371.93 yang melibatkan pengambilan tanah bagi Jajaran dari Balai Ringin ke persimpangan Pantu sejauh 27 kilometer.
Ini melibatkan Bahagian Serian dari Balai Ringin ke Kampung Jeruk seluas 30.21 hektar dengan penerima seramai 162 orang. Pampasan yang diberikan ialah RM7,789,042.61.
Bagi Bahagian Samarahan pula RM2,511,329.32 diperuntukkan bagi 73 orang yang melibatkan pengambilan tanah seluas 46.35 hektar bertujuan untuk membina jalan dari Kampung Jeruk ke Sabal.
Adenan berharap pampasan ini sekali gus menafikan dakyah pembangkang yang mengatakan kerajaan merampas tanah rakyat tanpa sebarang pampasan.
Tambahnya, sepanjang dua tahun menjadi Ketua Menteri, beliau telah memberikan dua hadiah besar untuk kaum Bidayuh.
Pertamanya, mengangkat Serian sebagai bahagian baharu yang pastinya akan meningkatkan kemajuan infrastruktur Serian.
Beliau berkata, jika Samarahan untuk orang Melayu, Sibu dan Sarikei untuk orang Cina, Miri untuk orang Ulu, Mukah untuk orang Melanau, maka Serian adalah untuk orang Bidayuh.
“Walaupun pihak pembangkang membantah dan membawa ke mahkamah tetapi beliau berjaya juga menambah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) buat kaum Bidayuh iaitu N.23 Bukit Simuja dan N.18 Serembu menjadikannya lapan dari enam DUN di kawasan Bidayuh. Tujuannya supaya lebih ramai suara kaum Bidayuh dalam kerajaan,” katanya lagi.
Seterusnya, beliau juga berjaya menukarkan status kaum ‘lain-lain’ kepada Bidayuh untuk kaum ini.
Adenan berkata peruntukan RM1 bilion yang diperolehnya akan membawa pembangunan yang lebih pesat lagi kepada kawasan di luar bandar.
Justeru, Adenan meminta agar semua kaum di Sarawak hidup dalam suasana harmoni. Untuk memastikan keadaan harmoni ini berkekalan, tiada parti politik dari Semenanjung termasuk UMNO dengan budaya mereka dibawa masuk ke Sarawak.
“Guru-guru dari Semenanjung terutamanya dari Kelantan dan Terengganu akan dihantar pulang supaya dalam tempoh tiga tahun 100% guru-guru di Sarawak ialah anak tempatan,” ujar Adenan lagi.
SF