Skip to main content
Berita TempatanSelangor

UPM Hasilkan Produk Perubatan Inovatif

By 25 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh Abdul Razak bin Zakaria

SERDANG, 24 Mei (Malaysiaaktif) – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya mencipta Picagari Keselamatan Pakai Buang Pelbagai Guna (Safety Syringe) dan Tabung Darah Bervakum Tanpa Tebuk (SJ-VacTube) pertama di Malaysia.

Inovasi ini dihasilkan oleh sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Prof.Madya Ir.Dr.Abd.Rahim Abu Talib dari Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa melalui Program Master Inovasi dan Rekabentuk Kejuruteraan, Fakulti Kejuruteraan UPM.

Kedua-dua teknologi ini digunakan dalam proses pemindahan dan penyimpanan cecair seperti darah untuk kegunaan makmal,perubatan,veterina dan sebagainya.

Dengan penghasilan teknologi ini dapat menjimatkan perbelanjaan negara kerana tidak perlu lagi import dari negara luar.

Penggunaan picagari keselamatan ini dapat mengelakkan jangkitan kuman dan penyakit berpunca daripada penggunaan semula dan penyalahgunaan picagari.

IMG-20160524-WA0019

Inovasi ini selamat dan mudah dikendalikan dengan hanya menggunakan sebelah tangan. Pemegang jarum yang berada pada muncung picagari akan tercabut sendiri setelah selesai digunakan dan sekaligus boleh menghalang daripada penggunaan semula.

Menurut Prof.Madya Ir.Dr.Abd.Rahim Abu Talib, “SJ-VacTube adalah inovasi baharu dalam penggunaan teknologi vakum tanpa penggunaan jarum”.

Tambah beliau, “Proses baharu ini tidak memerlukan cucukan jarum untuk menghasilkan vakum,udara dapat disedut keluar melalui saluran di bahagian penutup tiub untuk mendapatkan had vakum yang dikehendaki dan kadar kebocoran udara dapat dikurangkan serta boleh disimpan dengan lebih lama”.

Saiz pasaran bagi picagari keselamatan di Malaysia dianggarkan antara 3 hingga 5 juta unit setahun dan pasaran di ASEAN dianggarkan antara 10 hingga 30 juta unit setahun. Manakala bagi tiub pula, antara 5 hingga 8 juta unit tiub setahun dan pasaran di ASEAN adalah antara 30 hingga 50 juta tiub setahun.

Kedua inovasi ini telah berjaya dipindahkan melalui Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Pindah Milik Paten di antara UPM dan Selia Tek Industries Sdn Bhd di Bilik Seminar Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, UPM.

Kerjasama erat di antara universiti dan industri ini diwakili oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr.Aini Ideris dan Pengarah Urusan Syarikat Selia Tek Industries Sdn Bhd, Kasim Sotin.

 

-DK

Tinggalkan komen anda