Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangorViral

Arwah Noriah Panggil Saya ‘Ayah’ – Haji Ahmad

By 5 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Kulasiri Jindasa

SUNGAI BESAR, 5 Jun (Malaysiaaktif) – “Arwah Noriah Kasnon panggil saya ayah. Pernah ada majlis di Parit 1 Sungai Haji Dorani, arwah ke belakang minta makanan Jawa kegemarannya.”

Demikian kata Ketua Unit Peladang Kampung Sungai Haji Dorani, Haji Ahmad Jamiran, 75, di sini apabila mengenangkan pemergian arwah setelah terlibat dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak sebulan lalu.

Bagi Haji Ahmad yang merupakan salah seorang pengusaha Inap Desa Sungai Dorani, arwah terlalu banyak jasanya.

 

Screenshot_2016-06-05-12-53-36

 

“Kebanyakan peruntukan dapat daripada arwah. Arwah banyak membuat program di homestay kami dengan memperkenalkan Kampung Sungai Dorani dan tradisi masakan Jawa.

“Bulan Mac lepas ada arwah aturkan satu program dengan veteran RTM dengan hidangan Jawa, nasi ambeng sebanyak 20 hidang.

“Saya masih teringat pada akhir hayatnya, arwah meminta ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi  mengadakan solat hajat meminta hujan pada malam Jumaat, 4 Mei. Selesai solat hajat dan bacaan yasin, ketika kami sedang makan Budi tiba-tiba terima whastapp dari Bukit Aman tentang kehilangan heli yang melibatkan Noriah.

“Kehilangan ‘anak’ saya itu benar-benar memberi kesan kepada kami sekeluarga. Isteri saya sendiri yang pernah terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan kakinya patah pada 29 Januari lalu  sebaik arwah mendapat tahu berita tersebut dia terus menghantar sebuah kerusi roda,” kata Ahmad.

Dari segi pembangunan dan pertanian, arwah banyak membantu Perubuhan Peladang Kawasan (PPK) berkenaan lesen kelapa sawit yang telah mati (tamat tempoh) berjaya diperbaharu atas bantuannya.

“Anak saya sendiri bekerja sebagai setiausahanya, jadi hubungan kami sekeluarga amat rapat dengannya.

“Dari segi personaliti, arwah sangat peramah, mudah mesra, tidak mengata orang, suka membantu,  tak cakap lepas, hormat orang muda dan seorang pendengar yang setia.

“Saya doakan arwah yang disemadikan di Tanjung Karang akan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” ujarnya lagi.

Noriah meninggalkan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan.

Sementara itu, hari ini juga merupakan Hari Penamaan Calon yang berlangsung di Dewan Seri Bernam bagi mencari pengganti arwah sebagai Ahli Parlimen di Sungai Besar.

 

-DK/AAS

Tinggalkan komen anda