Skip to main content
Berita TempatanSabah

CYPARK Sumbang Empat Panel Solar Jimat Kos Elektrik

By 28 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

  Oleh: Ahmad Sahid Jibal (Sabah)

KOTA BELUD, 28 Jun (Malaysiaktif) –?“Panel Solar di Masjid Pekan Kota Belud mampu menghasilkan 541.45kwh sebulan atau dapat berjimat sebanyak RM506 setiap bulan berbanding penggunaan bulanannya kira-kira sebanyak RM1,250.

“Justeru, solar itu  mampu menjimatkan penggunaan wang untuk membayar bil elektrik setiap bulan dan boleh digunakan bagi tujuan lain yang berguna untuk pembangunan umat Islam di Kota Belud amnya.

Demikian kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Haji Abdul Rahman Dahlan Majlis Simbolik Penyerahan Panel Solar dan Berbuka Puasa di Pekarangan Masjid Pekan Kota Belud pada Ahad.

Tambahnya, mungkin syarikat-syarikat korporat lain boleh berkolaborasi  dengan Cypark untuk memasang lebih banyak panel solar di tempat-tempat yang menjadi tumpuan awam di seluruh Sabah tanpa mengira fahaman atau bangsa.

Cypark Resources Berhad menyumbangkan sistem panel solar bernilai RM400,000 kepada empat buah lokasi di daerah ini.

Lokasi yang terpilih itu ialah Masjid Pekan Kota Belud, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa Kota Belud, Tokong Cina Pekan Kota Belud dan Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Kampung Piasau.

Teks ucapannya telah dibaca Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Haji Musbah Haji Jamlee.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cypark Holdings Berhad, Datuk Daud Ahmad pemilihan lokasi berkenaan kerana memenuhi ciri-ciri yang diperlukan untuk pemasangan panel solar.

“Untuk Masjid Pekan Kota Belud kawasan seluas 35 meter persegi kini telah siap dipasang dengan panel solar manakala SRJK (C) Chung Hwa seluas 70 meter persegi, Tokong Cina Pekan Kota Belud dan Gereja SIB Kampung Piasau juga masing-masing dengan keluasan 35 meter persegi.

“Dengan penyelenggaraan yang berterusan oleh Cypark, panel ini mampu digunakan untuk tempoh 25 tahun yang akan datang. Selain membantu menjimatkan penggunaan elektrik,panel solar ini akan membuka mata masyarakat terutamanya pelajar sekolah untuk mengetahui cara tenaga ini dihasilkan,” ujarnya.

Pada majlis yang sama turut diadakan Tazkirah Ramadan dan penyerahan bantuan zakat kepada 200 orang penerima dan bantuan kepada 60 orang dari Rumah Anak-anak Yatim Darul Bakti.

SF

Tinggalkan komen anda