Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

Jambatan Manong Tiada Kaitan dengan Pilihan Raya

By 17 Jun 2016Jun 20th, 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Diyana Zamri (Putrajaya) / Foto: Hiekal Rosli

MANONG, 16 Jun (Malaysiaaktif) – Dakwaan mengatakan projek Jambatan Manong merupakan janji untuk menarik undi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar adalah tidak benar.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan hal tersebut ketika ditemui media di tapak Jambatan Sungai Manong, petang tadi.

“Saya jelaskan, jambatan tersebut merupakan antara permintaan bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-Il Anuar Wan Ahmad. Sebelum ini, arwah pernah memohon bagi pembinaan jambatan Manong,” katanya.

Menurut Fadillah, pengumuman projek tersebut adalah sejajar dengan hasrat masyarakat dan pemimpin setempat yang mahukan jambatan itu dibina bagi kemudahan mereka.

“Mengatakan perkara (Jambatan Manong) ini hanya gimik pilihan raya adalah tidak benar. Saya boleh buktikan kalau Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji, memang beliau akan tunaikan.

“Banyak benda dijanjikan PM akan ditunaikan. Sebagai contoh, di Sarawak, Lebuhraya Pan Borneo sedang rancak dilaksanakan. Pembinaan jambatan tersebut bakal dimulakan selewat-lewatnya Mac tahun depan. Tarikh siap dijangkakan 18 bulan ke 24 bulan selepas pemilikan tanah,” ujar Fadillah ketika membuat lawatan di tapak Jambatan Manong, di sini, petang tadi.

Tambahnya, projek pembinaan jambatan yang bernilai RM43.5juta itu tersenarai dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan akan menggunakan kaedah sedia ada.

“Kita juga akan mencari mekanisme terbaik dalam membina sebuah jambatan yang kukuh. Kita bercadang untuk membina tujuh tiang bagi menampung jambatan ini. Kalau berlaku banjir di kawasan ini, kita bimbang kayu hanyut mungkin akan merosakkan jambatan.

“Jadi, kita perlu pastikan jambatan yang akan dibina betul-betul kukuh. Semua perkara itu akan kita ambil kira, sebab itu kajian mendalam akan dibuat bagi memastikan projek ini berjalan lancar,” ujarnya.

Sementara itu, Fadillah turut menjelaskan pengusaha bot penambang di situ tidak perlu bimbang dengan pembinaan jambatan tersebut kerana peluang perniagaan lain akan dirancang untuk mereka.

“Kalau kita laksanakan pembangunan, kita lihat di sini akan jadi tapak rekreasi. Jadi, sudah pasti bot ini kita akan cipta peluang perniagaan baru untuk mereka. Sungai boleh dijadikan kawasan pelancongan. Kalau kawasan ini kita jaga betul-betul, pengusaha bot boleh tambah pendapatan dengan menyewakan bot mereka,” ujarnya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Mohamad Kamil Shafie dan ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman.

Tinggalkan komen anda